SEMPENA HARI RTM KE-64 : RTM SIAR EMPAT DRAMA TERBAIK PANGGUNG RTM
Dalam menghargai sokongan pengikut setia program salurannya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bakal menyambut ulang tahun ke-64 pada 1 April 2010 ini menerusi saluran TV2 menyiarkan empat drama terbaik terbitan Unit Drama TV RTM bertajuk Namaku Bukan Setsuko pada 29 Mac 2010 (Isnin), Senjalaka (30 Mac 2010), Hujan Sudah Teduh (31 Mac 2010) dan Bila Kompang Berbunyi (1 April 2010) yang kesemuanya disiarkan jam 1.30 petang.
Namaku Bukan Setsuko terbitan Unit Drama TV RTM arahan Fahmi Sarindi ini mengisahkan tentang percintaan, kesetiaan dan pengorbanan dua insan semasa zaman pendudukan Jepun di Malaysia yang akhirnya membawa perpisahan. Harapan Setsuko mencari ibunya di Malaysia akhirnya membuahkan hasil lebih dari itu dia menemui jati diri, bangsa serta agama asalnya di sini.
Drama yang memaparkan situasi berlaku dalam dua era ini membariskan lakonan berkesan Mariani Ismail, Nisya Dirr, Dian P.Ramlee, Elaine Daly, Wan Maimunah, Maimun Talib dan Abu Bakar Omar.
Disusuli oleh drama Senjalaka lakonan Wan Hanafi Su, Eira Syazira, Khatijah Tan, Saifullah Ghazali, Danny X Factor, Zami Ismail, Maimon Talib, Radzali Buyong dan Tan Ting. Memaparkan kisah Kinto (Ranjer Hutan) yang telah bersara membuat keputusan untuk kembali ke hutan untuk menunaikan hasrat anaknya Noor yang menghidap penyakit leukimia berasa teringin untuk makan daging rusa. Kinto terpaksa menghadapi pelbagai dugaan. Namun segalanya berakhir dengan kematian Noor sebelum dia menunaikan hasratnya itu. Drama ini diarahkan oleh Kamarudin Ambak.
Kemudiannya Hujan Sudah Teduh pula membawakan kisah suka duka kehidupan Yang Ah Moi yang setelah menganut agama Islam menggunakan nama Zaitun Abdullah. Dengan berkat kesabarannya dalam hidup, Zaitun berusaha menguruskan perniagaannya sendiri. Antara watak utama drama ini dijayakan oleh Khatijah Tan, Lim Fheng Fheng, Jalil Hamid, Sabri Yunus dan Zamarul Hisham.
Usah ketinggalan juga menyaksikan drama menarik bertajuk Bila Kompang Berbunyi menampilkan barisan pelakon Mubarak Majid, Dilla Ahmad, Abu Bakar Omar, Normah Damanhuri, Wan Maimunah dan Kazar. Drama ini mengisahkan pertunangan Hassan dan Hamidah yang menerima tentangan hebat daripada Omar, bapa Hamidah. Segalanya berpunca kerana perbezaan pegangan masing-masing kerana Hassan penentang Malayan Union sedangkan Omar pula penyokong Inggeris. Lalu berpunca daripada itu, timbullah konflik antara keluarga Hassan dengan keluarga Hamidah.
Saksikan kesudahan empat drama menarik mengisi petang anda ini hanya menerusi RTM, saluran drama terbaik.