Ekoran dari spekulasi mengatakan Dato’ Siti Nurhaliza Taruddin, 36, hamil, akhbar Utusan Malaysia telah mensahihkan berita ini dengan bertanyakan dengan sumber terdekat. Betul ke tidak Dato’ Siti dah hamil?
Khabarnya, betullah, usia kandungan penyanyi ternama itu kini sudah memasuki bulan kedua. Mungkin selepas ini, ramai media akan bertanyakan sendiri tentang hal ini kepada tuan empunya diri.
Jika benar, satu sidang media akan berlangsung la kan untuk mengumumkan berita gembira ni.
Budiey suka untuk memetik berita dari Utusan Malaysia ni. Korang bacalah.
Jika semuanya berjalan dengan baik dan rezeki menyebelahi, penyanyi bergelar ‘si jantung hati Malaysia’ itu dijangka bersalin sekitar Jun atau Julai 2016.
“Ia, memang benar Siti Nurhaliza sudah mengandung. Kehamilannya kini dalam usia sekitar enam ke lapan minggu,” jelas sumber kepada Utusan Malaysia.
Seluruh keluarga terdekat mengetahui akan berita kehamilan itu beberapa hari sebelum majlis akad nikah anak tiri Siti, Asyraf Khalid yang berlangsung pada 1 November lalu. Bercakap tentang pilihan Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa untuk tidak terlalu terbuka akan soal kehamilan ini, sumber berkenaan memberitahu ia adalah satu tindakan yang dibuat atas soal berkaitan sensitiviti.
“Jika dilihat dalam kenyataan-kenyataan kepada media, baik Siti mahupun suaminya, Datuk Khalid sendiri tidak ‘mengiyakan’ berita kehamilan itu. Bagaimanapun, dalam masa yang sama, mereka juga tidak membuat ‘penafian’ kerana memang benar Siti sudah hamil. “Tindakan ini bukan untuk membuatkan orang lain tertanya-tanya, juga bukan niat mereka untuk menyembunyikan berita baik itu. Tetapi dalam usia kandungan yang masih terlalu awal lagi, eloklah tidak terlalu didedahkan.
“Selain itu juga, pesan orang tua-tua juga diambil kira dalam soal ini. Tidak boleh terlalu bersuka ria dalam soal sebegini. Apabila sampai waktunya nanti, pada masa yang lebih sesuai, mereka akan tampil dan berkongsi berita baik itu dengan semua. “Apa yang penting, kita semua memberikan doa agar Siti Nurhaliza yang kita sayangi sentiasa sihat dan melahirkan bayi sulungnya dengan selamat pada tahun depan,” kata sumber yang terdiri daripada keluarga terdekat pasangan tersebut.
Hasil siasatan Utusan Malaysia juga, Siti Nurhaliza tidak terbang ke Palembang, Indonesia bagi meraikan majlis resepsi pernikahan Asyraf dan isterinya, Tya Ariffin yang berlangsung di sebelah pihak perempuan, malam ini. Ia juga adalah atas nasihat doktor supaya penyanyi berkenaan tidak menaiki penerbangan dalam waktu awal kehamilannya. Spekulasi kehamilan Siti Nurhaliza tercetus pada malam pertama konsert Satu Suara Volume 2 di Istana Budaya pada 7 November lalu apabila penyanyi Hetty Koes Endang secara tiba-tiba melarang Siti untuk menari di pentas sambil menunjukkan ke arah perut penyanyi berkenaan. Sumber: Utusan Malaysia