Dibintangi pelakon Sara Ali, Mikail Andre, Sura Sojangi, Zul Huzaimy, Liza Abdullah, Mat Over, Jalaluddin Hassan dan Anne Abdullah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan drama bersiri terbaharu 13 episod bertajuk “Couture Cinta”.
:
Drama arahan Din Glamour terbitan syarikat CMA Media Sdn Bhd menemui penonton mulai 10 November, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11.30 malam di TV1 ini mengisahkan Adibah gadis kampung anak tunggal kepada Malik dan Ramlah yang sangat meminati fesyen dan gemar bergaya. Namun cita-citanya hanya tinggal impian semata kerana tiada sebarang usaha untuk dia mengembangkan bakatnya. Ibu bapanya pula seringkali memperkecilkan keinginan Adibah untuk bergelar pereka fesyen apatahlagi dengan sikap Adibah yang degil dan malas, mereka hanya boleh mengharapkan Rodi membantu perniagaan bakeri mereka. Rodi, anak muda yang berdikari dan dalam diam menyimpan perasaan terhadap Adibah.
Satu hari meskipun tanpa restu ayah dan ibunya, Adibah berhijrah ke Kuala Lumpur. Dia menumpang rumah sepupunya, Lina gadis yang agak liar. Lina pula hanya membenarkan Adibah menumpang di rumahnya, tetapi sedikit pun tidak menghiraukan keperluan Adibah, termasuk mencarikan pekerjaan untuk Adibah. Mereka hanya tinggal serumah namun seperti saling tidak mengenali. Adibah sedih dan berasa sangat susah sekali kerana dia tidak tahu hala tuju di KL. Mujur ketika itu muncul Rodi yang sanggup ke KL untuk membantunya mendapatkan pekerjaan di kilang jahit tempat ibu saudaranya bekerja.
Di sebuah IPTA, Nazrin merupakan seorang pelajar lelaki jurusan senibina. Nazrin adalah seorang lelaki yang metroseksual. Nazrin sebenarnya menghadapi konflik yang mana dia tidak minat jurusan yang sedang diikutinya. Nazrin terpaksa mengambilnya atas desakan ibu bapanya. Nazrin bercita-cita menjadi seorang pereka fesyen terkenal seperti Rizalman Ibrahim, Bernard Chandran dan Zang Toi. Sampai satu tahap, Nazrin sudah tidak mampu menipu dirinya lagi apabila dia dinobatkan pemenang pertandingan mereka pakaian untuk satu kempen. Akhirnya, ibu bapa Nazrin bersetuju dan menggalakkan segala usaha Nazrin. Nazrin melanjutkan pelajaran dalam jurusan rekaan fesyen di sebuah IPT.
Adibah meneruskan rutin hariannya sebagai seorang pekerja kilang dan tahu sedikit sebanyak asas menjahit. Hujung minggu pula, Adibah masuk kelas menjahit untuk belajar membuat pelbagai jenis pakaian. Adibah juga sudah mula mengambil tempahan pakaian sedikit demi sedikit. Namun Lina mula menunjukkan belangnya yang sebenar dan menghalau Adibah.
Adibah kemudiannya tinggal dengan Mimi. Adibah masih mengambil tempahan pakaian dan semakin hari kemahirannya mula menampakkan kepelbagaian. Adibah cuba-cuba melukis rekaan pakaian. Adibah juga meletakkan label khas dengan nama ‘Adeeba’ pada setiap pakaian yang dijahitnya.
Pelanggan Adibah semakin ramai. Walaupun dia sudah berhenti kerja kilang, namun rakan-rakan kerja lamanya itu masih menempah pakaian dengannya. Mimi juga membantu mempromosikan khidmat Adibah di pejabatnya. Ada juga di kalangan rakan artis yang mula menempah pakaian dengan Adibah.
Rodi sedang melanjutkan pelajaran di sebuah IPT di Kuala Lumpur. Rodi juga ada melakukan kerja part-time untuk menambah kewangannya. Adibah seronok Rodi ada di KL. Mereka kerap berjumpa dan menghabiskan masa bersama jika masing-masing tidak sibuk. Namun, Adibah seakan menjauh apabila Rodi membuka mulut untuk melamar Adibah. Adibah sebenarnya belum mampu menganggap Rodi sebagai kekasih namun hanya sebagai sahabat.
Pertemuan dengan Nazrin lebih menjarakkan hubungan Adibah dan Rodi. Nazrin yang sedang sibuk menyiapkan baju-baju untuk satu festival, mencari tukang jahit mahir untuk membantunya. Pertama kali bertemu Adibah, Nazrin merasakan dia bukan seorang tukang jahit biasa, malah penuh idea dan inspirasi.
Adibah pula sangat mengagumi Nazrin yang padanya, dalam usia semuda itu sudah mula menempa kejayaan. Adibah mula menjadikan Nazrin sebagai inspirasinya. Nazrin sangat selesa bekerja dengan Adibah. Nazrin sebenarnya dalam proses untuk membuka butiknya sendiri dengan label Naz Apparel. Naz mempelawa Adibah untuk bekerja sebagai pembantu kanannya di butik. Adibah berfikir secara positif yang melalui Naz, dia akan lebih mengenali senario dunia fesyen tempatan sekaligus mencapai cita-citanya.
Adibah mula menjalankan tugasnya sebagai tukang jahit merangkap pembantu kanan Nazrin. Adibah mula merasakan yang dia sukakan Nazrin. Nazrin sering membawa Adibah bersama ke majlis-majlis yang melibatkannya. Di situ, Adibah berkenalan dengan ramai kenamaan, selebriti dan juga model yang menggayakan pelbagai fesyen termasuk rekaan Nazrin. Adibah juga bangga apabila melihat orang memakai pakaian hasil kerja tangannya.
Oleh kerana Adibah banyak membantu Nazrin dalam mereka pakaian dan boleh dikatakan itu adalah hasil rekaan mereka berdua, Nazrin telah mencadangkan agar labelnya ditukar kepada ‘Naz Adeeba’. Adibah sangat bersyukur dengan apa yang didengarnya. Dia telah bergelar seorang pereka fesyen.
Rodi menjeruk rasa dengan perubahan Adibah yang sudah lama tidak menghubunginya. Rodi juga kadangkala tidak faham dengan dirinya sendiri yang menjadi begitu emosional setiap kali memikirkan Adibah. Cintanya terhadap Adibah sangat mendalam, dan kerana itu dia sanggup buat apa saja untuk Adibah hingga sanggup memburukkan Nazrin kepada orang tua Adibah.
Atas desakan orang tua akhirnya Adibah berkahwin dengan Rodi. Dia begitu kecewa apatahlagi Nazrin pula hanya mampu mendiamkan diri sahaja wanita dicintainya berkahwin dengan lelaki lain. Namun berlaku satu kejadian yang membuka mata kedua orang tua Adibah bahawa Rodi bukanlah pilihan yang terbaik untuk anak mereka.