Astro Bella bakal tampil dengan wajah baharu mulai 1 Oktober 2015 ini demi memenuhi kehendak pelanggan dan pada masa yang sama akur dengan peredaran masa yang sentiasa menginginkan pembaharuan. Astro Bella yang bersiaran di saluran 133 telah dilancarkan pada bulan Mac 2012 dan merupakan salah satu saluran Astro yang memberi keutamaan kepada rancangan-rancangan berbentuk telenovela dan drama-drama yang berunsur melodramatik.
Kini, selepas lebih dari tiga tahun bersiaran dengan konsep yang sama, Astro Bella hari ini bakal menyuntik nafas baharu dengan memperkenalkan empat segmen terkini yang berlatar belakangkan gaya hidup sihat iaitu SUUDU (seleksi program-program masakan terbaik dari seluruh dunia), MICASA (seleksi program-program dekorasi terbaik dari seluruh dunia), PASSPORT (seleksi program-program travelog dari seluruh dunia) dan SIHAT (seleksi program-program kesihatan dan kecergasan dari seluruh dunia).
Membuka tirai segmen-segmen baharu di bawah naungan Astro Bella ini adalah ‘Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari’, sebuah program realiti yang mengetengahkan gaya hidup sihat dan bakal menyaksikan para peserta menyahut cabaran untuk mengurangkan berat badan dalam masa 30 hari disamping diberi pendedahan akan kepentingan kesihatan dan kecergasan.
Kevin Zahri yang dikenali sebagai ‘Cikgu Fitness Malaysia akan bertindak sebagai pengacara untuk program ini dan Sharifah Sakinah, seorang selebriti tempatan yang cukup dikenali dengan amalan gaya hidup sihatnya akan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara sampingan. Pemenang program ini akan berpeluang untuk memenangi hadiah utama sebanyak RM 20,000.00, sebuah trofi beserta hadiah-hadiah menarik yang lain.