Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal berkongsi pelbagai resipi mudah dan ringkas kegemaran rakyat Malaysia menerusi program masakan terbaharu, “Walla” mulai 5 September ini, setiap Sabtu, pukul 10.30 pagi menerusi saluran TV1.
“Walla” merupakan sebuah program berbentuk majalah terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM menampilkan hos chef selebriti, Brian Chen dalam 13 episod menarik setiap minggu.
Program Masakan Santai, “Walla” Bersama Chef Brian di TV1
Mengetengahkan 3 segmen khas, segmen pertama memaparkan Chef Brian akan ke pasar-pasar malam seluruh negara untuk melihat dan menerokai sendiri keunikan makanan di pasar malam dan juga “street food”.
Dalam segmen kedua pula, Chef Brian akan bersama penulis-penulis blog yang menulis berkaitan entri makanan untuk ke restoran pilihan para blogger ini.
Seterusnya dalam segmen akhir rancangan iaitu segmen ketiga, Chef Brian akan mencipta satu resepi “fusion” berdasarkan makanan atau menu yang telah di cuba di pasar malam atau “street food” dan juga restoran pilihan tadi.
Menariknya, setiap episod program ini akan memaparkan makanan atau menu yang menggunakan bahan asas yang berbeza.
Keterujaan dikongsi bersama penonton RTM menerusi episod pengenalan yang memberi fokus kepada makanan berasas kepak ayam diikuti kambing, mee kuning, burger, sotong, nasi dagang, laksa ,kuew teow, yong tau fu dan akhir sekali buah yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia, durian.
Sama-sama ikuti dan cuba menyediakan resipi menarik ini hanya di TV1.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.