Tinggal beberapa hari sahaja kita bakal menyambut perayaan Aidilfitri, pelakon jelita, Fasha Sandha ditimpa musibah apabila kesemua anak-anaknya melarikan diri. Menurut pembantu rumahnya, anak-anak Fasha Sandha melarikan diri kerana sentiasa ditinggalkan oleh ibunya yang jarang sekali berbuka puasa bersama mereka.
Namun, keadaan Fasha kini tetap kuat dan tabah kerana musibah-musibah ini hanya terjadi kepadanya dalam telefilem, ‘Ramadan Jangan Tinggal Kami’ yang akan disiarkan pada Ahad ini, 12 Julai 2015 pada jam 10.00 malam hingga 11.00 malam dalam slot Cereka Ahad di TV3.
‘Ramadan Jangan Tinggal Kami’, hasil karya A.Aida Production Sdn Bhd di bawah pengarahan saudara Suhaimi Lua Abdullah yang mengandungi unsur pengajaran ini turut menampilkan barisan pleakon berpengalaman seperti Fasha Sandha, Sharnaaz Ahmad, dan Sherry Al-Hadad, serta pelakon cilik Adik Nur Qistina, Habiel Lutfillah dan Puteri Adrianna.
Kisah bermula dengan pasangan suami isteri, Afendi dan Rania (lakonan Sharnaaz Ahmad dan Fasha Sandha) yang sentiasa sibuk mengejar pendapatan lebih untuk keluarga mereka. Kehidupan mereka sudah cukup mewah, tetapi mereka mahukan yang lebih baik untuk tiga orang cahaya mata mereka, Along, Angah, dan Adik (lakonan adik Nur Qistina, Habiel Lutfillah, dan Puteri Adrianna). Dengan kesibukan pekerjaan mereka, anak-anak pasangan suami isteri itu dijaga oleh pengasuh mereka, Kak Diva (lakonan Sherry Al-Hadad) yang setia mendengar rintihan anak-anak itu.
Perjalanan kisah anak-anak itu memuncak apabila tibanya bulan Ramadan. Mereka amat teruja dengan kemunculan bulan Mubarak itu kerana mereka berharap agar ibu bapa mereka akan sentiasa pulang kerumah dan berbuka puasa bersama-sama. Sehinggakan, ketiga-tiga kanak-kanak itu menyuruh ibu bapanya untuk mengangkat sumpah agar sentiasa pulang kerumah untuk berbuka puasa bersama-sama.
Namun, harapan mereka tetap kecundang apabila ibu bapa mereka tetap sibuk untuk berbuka bersama anak-anak yatim atas kehendak pekerjaan. Oleh kerana sering dikecewakan oleh ibu bapa mereka, tiga beradik itu berpakat untuk melarikan diri dari rumah selepas tamat sesi persekolahan. Tindakan mereka itu menggemparkan seluruh isi rumah Afendi dan Rania itu.
Ke manakah larinya tiga beradik itu? Dapatkah Rania dan Afendi menemukan anak-anak mereka? Masih adakah semangat Aidilfitri buat keluarga ini? Dapatkan jawapan anda dalam telefilem ‘Ramadan Jangan Tinggal Kami’ Ahad ini, 12 Julai 2015 dalam slot Cereka Ahad, jam 10.00 malam. Untuk maklumat lanjut anda juga boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.