in , ,

Sinopsis Filem CCTV Lakonan Aeril Zafrel

Dimasukkan ke hospital akibat mengalami kecederaan, namun bertemu dengan beberapa pesakit yang aneh ketika sedang mendapatkan rawatan, tentunya suatu situasi yang sangat menyeramkan.

Itulah cerita yang ingin ditampilkan dalam filem terbaharu berjudul CCTV, sebuah filem bergenre seram yang akan menemui penonton tidak lama lagi.

Biarpun sudah terlalu banyak filem bergenre sedemikian yang sudah ditayangkan di pawagam, namun filem CCTV terbitan syarikat produksi Cinemaya Studios Sdn. Bhd. dan Victory Film Production Sdn. Bhd. ini pastinya memberi kelainan yang tersendiri.

Filem CCTV arahan pengarah Daven R. ini bermula dengan kisah mengenai seorang lelaki, Hariri yang bekerja sebagai seorang juruteknik televisyen litar tertutup (CCTV).

CCTV Latest jpeg

Pada satu malam, Hariri telah mendapat panggilan daripada ketuanya dan diarahkan untuk membaiki kerosakan CCTV di sebuah hospital lama. Walaupun berasa berat hati, namun dia terpaksa akur dengan arahan ketuanya itu.

Ketika sedang membaiki CCTV yang rosak di hospital berkenaan, nasib Hariri agak kurang baik apabila dia tiba-tiba terjatuh dan pengsan serta mengalami kecederaan apabila kakinya patah.
Kemudian, apabila dia sedar ketika mendapatkan rawatan di hospital lama berkenaan, dia berhadapan dengan beberapa kejadian aneh yang berlaku.

Antaranya, dia bertemu dengan seorang lelaki buta yang pelik, seorang gadis kecil yang terbakar, seorang wanita Cina yang sedang sarat mengandung serta seorang doktor gila yang mengendalikan hospital berkenaan dengan caranya tersendiri.

Bagaimanapun, keanehan yang berlaku sepanjang dia berada di hospital berkenaan akhirnya terbongkar setelah Hariri melihat sendiri rakaman CCTV tentang kejadian yang berlaku di hospital itu. Ternyata rakaman daripada CCTV itu mendedahkan bahawa semua orang yang berada di dalam hospital, terutama sekali individu yang ditemuinya itu telah mati dalam satu kebakaran yang berlaku sebelum ini.

Akibat panik setelah melihat rakaman tersebut, Hariri lantas melarikan diri dari hospital itu dan cuba menuju ke sebuah van dalam usaha untuk menyelamatkan dirinya.

Bagaimanapun, apabila dia dapat menghampiri van berkenaan, sekali lagi dia mendapat kejutan yang tidak disangka-sangka.

Apakah kejutan berkenaan, semuanya akan dapat disaksikan pada babak-babak terakhir filem CCTV yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 30 Julai ini.

Sesuatu yang menarik tentang filem CCTV ini juga apabila ia menampilkan pelakon Aeril Zafrel sebagai watak utama yang memainkan peranan sebagai Hariri. Malah, ia merupakan kali pertama dia berlakon dalam filem bergenre seram sejak mula berkecimpung sebagai seorang pelakon pada tahun 2010.

Selain itu, filem ini turut diperkuatkan lagi dengan penampilan beberapa pelakon lain seperti Hasnol Rahmat dan Asliza Abdullah serta seorang pendatang baharu, Ardel Aryana.

Penggambaran pula di lakukan di sekitar Kuala Lumpur selama 20 hari dan kos keseluruhan penerbitan pula menelan belanja sebanyak RM1.5 juta.

Dalam pada itu, berkenaan dengan pengarah Daven R., biarpun filem CCTV ini merupakan arahan sulungnya, tetapi beliau sudah berpengalaman luas dalam kerja-kerja di belakang tabir.

Sebelum ini, Daven R. telah terbabit sebagai Pengarah Sinematografi untuk beberapa buah filem tempatan seperti Mr. Cinderella 2, Gong, Susuk, Cun serta yang terbaharu adalah filem Gamatisme.

CCTV  20

PELAKON UTAMA
AERIL ZAFREL – Hariri
HASNOL RAHMAT – Dr. Muthalib
ARDEL ARYANA – Marianaa

PELAKON PEMBANTU
ASLIZA ABDULLAH
JEFF OMAR
VANESSA
DINO PAK

CCTV 8

CCTV 9

CCTV 13

CCTV 15

Profile syarikat
Cinemaya Studios Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2012 yang khusus untuk terbitan produk-produk bagi siaran televisyen serta filem. Sepanjang penubuhan syarikat berkenaan, ia telah terlibat dengan perkhidmatan untuk post produksi bagi filem, program televisyen dan iklan komersial. Sesuatu yang menariknya tentang Cinemaya Studios Sdn. Bhd. apabila CCTV merupakan filem sulung terbitan syarikat ini setelah tiga tahun beroperasi. Dengan menceburkan diri dalam arena penerbitan filem, misi utama mereka adalah untuk menerbitkan filem untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Victory Film Production Sdn. Bhd. yang terletak di Puchong, Selangor merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan seperti pengaturcaraan, penyuntingan, penerbitan iklan komersial dan terbaharu sekali terbabit dengan penerbitan filem. Menariknya, CCTV juga merupakan filem pertama yang diterbitkan oleh Victory Film Production Sdn. Bhd. dengan usaha sama yang dijalinkan bersama Cinemaya Studios Sdn. Bhd. Sejak syarikat ini ditubuhkan, ia telah terlibat dalam pelbagai organisasi yang menggunakan khidmat mereka untuk perkhidmatan yang disediakan menerusi hasil kerja yang berkualiti tinggi dan inovatif.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Alyah Akui Ramli MS Rajin Memasak

Komposer James Horner Maut Pesawat Ringan Terhempas