Program masakan Ketuk-Ketuk Ramadan antara program yang mendapat sambutan luar biasa dan dinanti-nantikan penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) setiap tahun.
Tahun 2015 ini, “Ketuk-Ketuk Ramadan” kembali lagi dengan mengetengahkan kemunculan artis-artis popular tanah air mulai 17 Jun ini, setiap hari, pukul 12.30 tengah hari di TV1.
Bersama pengacara Sheila Rusly, selebriti undangan rancangan memasak No. 1 Malaysia ini bakal menghidangkan menu istimewa mereka sendiri untuk dikongsi bersama penonton RTM dan istimewanya selain memasak, personaliti ini turut menjawab isu dan gosip berkaitan mereka dan ia menjadi platform bagi artis tersebut memperjelaskan situasi sebenar berkaitan diri mereka yang timbul di media sosial.
Ketuk-Ketuk Ramadan kali ini memilih lokasi Tesco dan mengekalkan konsep santai selain terus menyajikan resepi-resepi masakan tempatan yang mudah, ringkas dan menyelerakan.
“RTM mengekalkan program khas sempena Ramadan tahun ini iaitu Ketuk-Ketuk Ramadan kerana rancangan ini mendapat rating tinggi di stesen ini pada tahun lalu,” ujar Pengurus Saluran TV1, Noriah Letuar pada Sidang Media Program Khas Ramadan RTM 2015 berlangsung di Angkasapuri pada 9 Jun lalu.
Dalam episod pengenalannya menjelang 1 Ramadan 1436 Hijrah ini iaitu 17 Jun ini, saksikan kemunculan pelakon lelaki yang sedang meningkat naik, Syafiq Kyle menjadi selebriti undangan berkongsi resipi istimewa hasil air tangannya.
Ia diikuti dengan menampilkan Dynas Mokhtar (18 Jun), Fasha Sandha (19 Jun), Dazrin Kamaruddin (20 Jun), Abam Bocey (21 Jun), Dayana Roza (22 Jun), Amar Bahrin (23 Jun), Shakilla Koriri (24 Jun), Fattah Amin (25 Jun), Emma Maembong (26 Jun), Johan Ashari (27 Jun) dan Nelydia Senrose (28 Jun).
Untuk mengetahui siapakah artis kesayangan anda yang bakal muncul pada episod-episod seterusnya saksikan rancangan menghiburkan dengan celoteh santai artis-artis terkenal ini hanya di TV1.