Bapa tiri kepada keluarga selebriti Kardashian, Bruce Jenner kini ingin dikenali dengan nama Caitlyn apabila mengambil keputusan mengubah dirinya menjadi wanita.
Dia yang tampil di muka depan majalah Vanity Fair dengan tajuk sensasi ‘Call Me Caitlyn’ semalam, kini menjadi bualan hangat di media sosial kerana menukar wajahnya itu.
Dia turut mendapat sokongan padu daripada ahli keluarganya. Anak-anaknya juga menunjukkan tanda sokongan terhadap perubahan dirinya dengan memuat naik gambar muka depan majalah tersebut.
Namun, ibu kepada Caitlyn enggan memanggilnya dengan nama baharunya itu kerana berpendapat dia lebih menyukai nama yang diberikan ketika bekas atlet sukan Olimpik itu dilahirkan dulu.
Sementara itu, beberapa akaun media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram dengan nama wanitanya Caitlyn Jenner itu kini sudah mencapai pengikut lebih sejuta dalam jangka masa singkat.
Laporan Aceshowbiz menyebut, pada Isnin, laman sosial Twitternya berjaya mencecah seramai 1.52 juta pengikut dalam masa satu jam selepas akaun itu diwujudkan.
Sekaligus dia berjaya memecah rekod akaun Twitter Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, sebagai individu yang mempunyai pengikut paling ramai di laman sosial dalam masa tidak sampai 24 jam.