in , ,

Irin Putri Azmi Dapat Anugerah Selempang Srikandi Media Malaysia

Tutur kata yang lembut namun mempunyai jiwa yang besar mengiringi wajah manis Irin Putri Azmi yang merupakan salah seorang personaliti TV3 yang mula menempa nama sejak tahun 2004.

Memulakan tugas sebagai wartawan penyiaran menerusi rancangan Medik TV yang membawa laporan mengenai isu kesihatan, gadis ceria ini ternyata bersungguh-sungguh dalam melunaskan tugasnya dalam membawakan laporan-laporan khas. Malah sehingga kini beliau mengekalkan ‘identiti’ wartawan kesihatan dengan menghasilkan beberapa laporan berkaitan kesihatan dari semasa ke semasa.

image2

Antara laporan yang signifikan buat gadis ini ialah ‘Berbakti Selepas Mati’ yang merencanakan kisah mayat yang digunakan untuk tujuan pembelajaran pelajar perubatan di Taiwan atas hajat si mati, ‘Tanpa Tangan, Tanpa Kaki, Tanpa Batas’ yang mengisahkan ketabahan kanak-kanak bernama Zy yang tidak memiliki anggota kaki dan tangan. Malah laporan Penyelamat Khazanah Sabah mengenai eksplorasi bersama Penyelamat Hidupan Liar berkisar tentang operasi menyelamat orang utan dan menjejaki kehidupan liar membuatkan laporan ini diangkat sebagai dokumentari terbaik pada Anugerah Kewartawanan MPI-Petronas 2014.

Maka tidak hairanlah, baru-baru ini, Irin Putri dianugerahkan Selempang Srikandi Media Malaysia oleh Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Muadzam Shah di Istana Pahang di Kuala Lumpur pada 14 April yang lalu.

Majlis penganugerahan itu meraikan jasa dan sumbangan wanita dari seluruh negara dalam pelbagai bidang yang membawa perubahan ke arah kesejahteraan rakyat dan negara.

“Saya amat bersyukur di atas penganugerahan ini. Saya percaya masih banyak lagi yang harus saya pelajari walaupun telah 11 tahun di dalam bidang produksi TV. Pembelajaran merupakan proses yang tidak pernah berhenti dan pengalaman membantu kita untuk terus berkembang. Anugerah ini merupakan motivasi untuk saya terus memberikan yang terbaik dalam apa yang sentiasa saya sukakan iaitu – penceritaan.”

Irin yang kini merupakan salah seorang pengacara Wanita Hari Ini (Isnin – Jumaat, 12.00 tengah hari) juga menggalas tugas sebagai penerbit rancangan dokumentari Majalah 3 (Isnin, 9.00 malam) di stesen TV3.

“Kami gembira dan turut berbangga dengan pencapaian Irin selaku wartawan, pengacara dan penerbit yang mengendalikan rancangan di TV3. Beliau telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan sentiasa berusaha menghasilkan dokumentari berkualiti dan menarik. Sebelum ini, wartawan kami seperti Zainal Ariffin turut diberikan penghargaan oleh majalah Reader’s Digest apabila dianugerahkan Most Wanted Trusted pada Anugerah Reader’s Digest Trusted Brand 2014. Kami berharap wartawan-wartawan kami akan terus memberikan hasil kerja yang terbaik selepas ini kerana usaha mereka pastinya mendapat tempat,” kata Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9.

Usaha Irin selama ini turut dianugerahkan dengan beberapa lagi pencapaiaan sebelum ini seperti Anugerah Program Kesihatan Terbaik (Anugerah Media Kementerian Kesihatan 2014, 2011 dan 2006), Dokumentari Terbaik (Anugerah Kewartawanan MPI-Petronas 2014) dan Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik pada tahun 2007.

image
image4
image5
image3
Irin di Majlis Penganugerahan
Irin 2 bersama teman pengacara WHI

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Harga OnePlus Lebih Murah Dengan Pelan MaxisONE

Kem Badminton Astro Opens for Registration