Selain didakwa mencabul Tegar Septian, 13, bekas pengurus pelantun lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang sekarang itu, Muhammad Arif Dollah, 30, turut dituduh melarikan pasport dan barang berharga milik penyanyi remaja popular Indonesia tersebut.
Keadaan semakin keruh apabila penyanyi Singapura, Sufie Rashid turut mendakwa pernah menjadi mangsa seksual Arif.
Namun, berlaku beberapa percanggahan dalam isu berkenaan apabila ketiga-tiga pihak didapati memberi kenyataan berbeza.
Terutamanya apabila Tegar sehingga kini belum menunjukkan laporan pemeriksaan kesihatan yang membuktikan dia dicabul atau tidak.
Kenyataan terbaru menerusi Harian Metro, Ariff berkata selama setahun bertindak sebagai pengurus Tegar, dia melayan penyanyi itu seperti anak sendiri. Malah katanya dia cukup mengenali perangai Tegar kerana sentiasa di sisinya dan mereka juga tinggal bersama pengurus label Indonesia di sebuah apartmen di Jakarta.
Ariff juga mempersoalkan kenapa isu sedemikian timbul ketika mereka berada di Malaysia dan bukannya sewaktu di Indonesia. Jelasnya, dia terkejut apabila tiba-tiba menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ibu Tegar yang menuduh saya liwat anaknya. Dia kemudian membalas SMS itu dan meminta ibunya membuat laporan polis serta membuat pemeriksaan kesihatan.
Mengenai dakwaan dia menyekat wang hasil persembahan Tegar hingga membuatkan penyanyi itu kembali mengemis, katanya tuduhan itu tidak benar kerana pembayaran yang diterima Tegar berdasarkan persembahan sahaja dan dia akan mengirim wang kepada ibunya selepas selesai persembahan.
Menurut lelaki itu lagi, Tegar sendiri dalam satu temu bual dengan sebuah stesen radio di Singapura baru-baru ini mengatakan ibunya tidak mengemis.
Sementara mengenai anak tirinya, Sufie yang turut mendakwa menjadi mangsa cabul, Ariff berkata dia tidak mahu komen banyak mengenai hal itu kerana menjaga aib ibu serta keluarga Sufie.
Ariff juga berkata, dia berasa pelik bagaimana Sufie boleh memberi kenyataan berbeza kepada media kerana di laman Facebook miliknya, dia menafikan ibunya pernah berkahwin dengan dirinya.