Sudahlah mereka tinggal berjiran dan diganggu dengan kehadiran Izzue setiap hari di rumahnya, Ayda juga rimas apabila keluarganya, melebihkan Izzue daripada dirinya terutamanya Mak Non, ibu Ayda. Izzue juga pernah cuba meminang Ayda tetapi ditolak kerana Ayda cintakan orang lain.
Eh.. tapi betul ke Izzue cuba meminang Ayda sedangkan Izzue sudah beristeri? Mesti semua orang tertanya-tanya.. tetapi itu hanyalah sekadar lakonan mereka berdua bagi drama bersiri terbaharu Suami Sebelah Rumah yang bakal disiarkan di slot Iris bermula 2 Mac ini di TV3. Suami Sebelah Rumah terbitan JS Pictures ini adalah hasil adaptasi karya novel oleh Ana Sofia ini buat pertama kalinya menggandingkan Izzue Islam dan Ayda Jebat.
Turut sama berlakon drama yang diarahkan oleh Azman Hj. Yahya ini adalah Sheila Mambo, Nazrief Nazri, Ben Amir, Zulin Aziz, Sherry Al-Hadad dan Hanna Aqeela.
Ayda Jebat yang memegang watak sebagi Eryna terpaksa melamar Amar untuk menjadi suaminya apabila tunangnya, Azlan lakonan Nazrief Nazri meminta pertunangan mereka diputuskan pada hari pernikahan mereka. Amar, lakonan Izzue Islam yang ternyata mencintai Eryna sedari kecil menerima permintaan Eryna dengan seikhlas hati. Tanpa pengetahuan ibu bapa masing-masing Eryna memaksa Amar untuk tinggal berasingan setelah mereka berpindah ke Kuala Lumpur.
Amar akur dengan kehendak Eryna yang masih lagi belum bersedia untuk membuka pintu hati untuknya. Amar tekad untuk berusaha memikat hati Eryna dan cara terbaik ialah dengan menjadi suami sebelah rumah Eryna!
Kehadiran Amar menceriakan Iman dan Anis, teman serumah Eryna. Eryna sedaya upaya cuba merahsiakan tentang suaminya, yang kini tinggal bersebelahan dengannya. Keadaan menjadi kalut apabila teman serumah Eryna iaitu Anis jatuh hati dengan Amar. Walaupun Eryna pernah menyatakan yang dia tidak akan pernah suka atau jatuh cinta dengan Amar, kesungguhan Amar sedikit sebanyak berjaya mengetuk pintu hatinya namun dia cuba menafikan.
Bagaimana reaksi Eryna apabila suaminya sendiri menjadi rebutan rakan-rakannya? Adakah Eryna masih lagi jual mahal dengan suami sebelah rumahnya itu? Saksikan gelagat mereka dalam drama 20 episod ini, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang hanya di TV3.
Untuk siaran ulangan sila layari www.tonton.com.my dan layari laman web www.tv3.com.my serta sosial media TV3 iaitu @TV3Malaysia untuk maklumat lanjut.