Dua kisah cinta dalam satu jalan yang sama. Syazira yang mempunyai masalah rumah tangga apabila suaminya Hamdani mempunyai hubungan sulit dengan seorang model. Syazira lari membawa hati yang terluka di sebuah resort. Manakala Hisyam yang tidak tahan dengan perangai isterinya yang terlalu mencemburuinya meninggalkan isterinya tanpa memberitahu apa-apa dan mengambil keputusan untuk tinggal di resort. Disitulah kisah mereka bermula apabila Syazira dan Hisyam bertemu.
Diinspirasikan daripada lagu malar segar Sedangkan Lidah Lagi Tergigit nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, slot Tribute P.Ramlee di TV1 menayangkan telemovie bertajuk “Kasih Antara Kita” arahan Ismail Yaacob pada 1 Mac ini, pukul 10.00 pagi.
Dugaan Dalam Perkahwinan Latari Drama “Kasih Antara Kita”, Slot Tribute P.Ramlee Di TV1
Menggandingkan pelakon utama Siti Shahrizah (Eja), Azhar Sulaiman, Kamal Adli dan Fouziah Gous, kisahnya berlatarkan perkahwinan Hamdani dan Shazira begitu bahagia. Mereka dikurniakan sepasang anak yang berusia 10 dan 8 tahun. Hinggalah satu hari, Shazira dapat mengesan hubungan sulit Hamdani bersama Natasya yang merupakan seorang model sedang meningkat popular.
Shazira amat kecewa dengan kecurangan Hamdani, bagaimanapun Hamdani berjanji akan memutuskan hubungannya dengan Natasya atas alasan dia tetap menyintai Shazira. Demi anak-anak, Shazira memberi peluang kedua kepada Hamdani dan cuba memulihkan hubungan mereka berdua.
Perempuan memang mudah memberi maaf dan lelaki sering melupakan janji. Hubungan Hamdani dan Natasya terus berlangsung dalam senyap. Hamdani mula melakukan pembohongan demi pembohongan hanya semata-mata untuk mengambil peluang bersama Natasya. Walaupun perasaan curiga tetap ada, namun Shazira cuba bersangka baik dengan Hamdani.
Satu hari Hamdani terperangkap dalam permainan sendiri apabila gambar Hamdani berpeluk mesra dengan Natasya keluar dalam majalah. Shazira amat kecewa. Malam itu, selepas pertengkaran, Shazira nekad keluar dari rumah walaupun Hamdani merayu demi anak-anak. Shazira serba salah tetapi luka kali kedua benar-benar membuat dia putus harapan dan mengambil keputusan untuk meninggalkan Hamdani serta anak-anak.
Shazira merayau tanpa arah. Kenangan demi kenangan indah bersama Hamdani bermain di fikiran. Setia Shazira tidak berbelah bahagi namun Hamdani langsung tidak menghargainya. Hamdani pada mulanya rasa tercabar dengan tindakan Shazira, namun akhirnya mengakui kesilapan sendiri setelah melihat anak-anak menangis menanti kepulangan Shazira sambil menangis di muka pintu. Akhirnya Hamdani dan anak-anak keluar mencari Shazira.
Dalam waktu yang sama, Hisyam seorang Pengarah Urusan di sebuah produk kecantikan dan kesihatan yang berjaya sering hidup dalam tekanan apabila segala urusan kerja dipantau tegas oleh isterinya, Qistina. Hisyam dan Qistina juga bertengkar, lalu Hisyam keluar dari rumah sebagaimana juga Shazira. Sepanjang merayau tanpa haluan, Hisyam terkenang tentang kesibukan dia dan Qistina menyebabkan hubungan mereka kian renggang.
Sepanjang merayau tanpa haluan itu, sebagaimana Shazira, Hisyam juga bertelefon meluahkan apa yang berlaku kepada salah seorang kawan masing-masing. Di rumah, Qistina terkedu dengan tindakan Hisyam. Dia cuba menelefon Hisyam tetapi gagal. Akhirnya Qistina keluar mencari Hisyam tetapi gagal dan nyaris menjadi mangsa samseng jalanan. Dalam saat cemas Qistina, Hamdani dan anak-anak melewati tempat tersebut dan akhirnya membantu menyelamatkan Qistina. Qistina kembali ke rumah, terkilan dan kecewa dengan sikapnya sendiri yang terlalu cemburu pada Hisyam.
Hisyam dan Shazira akhirnya turut sampai di satu tempat awam. Kebosanan menyebabkan Shazira dan Hisyam menghubungi rakan sepejabatnya. Sambil bertelefon dengan kawan masing-masing, mereka melangkah dari arah pertentangan dan akhirnya terlanggar bahu di antara satu sama lain. Spontan mereka saling meminta maaf, memandang dan mengukir senyuman.
Pandangan dan senyuman ikhlas dari dua hati yang lara, cukup membahagiakan. Dan masing-masing mula memikirkan tentang sekelumit kebahagiaan yang pernah dikecapi dalam perkahwinan masing-masing. Ketika Hamdani dan Qistina terpaku dalam menyesal mengenang kesilapan masing-masing, Shazira dan Hisyam sampai di rumah masing-masing.