Pelbagai program istimewa telah diatur oleh Radio Televisyen Malaysia sebagai hiburan selain menyampai berita, informasi dan maklumat terkini. Justeru itu, tibanya musim-musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan perayaan lain yang disambut di Malaysia pelbagai lagi program khas telah ditambah dan disusun atur bagi memeriahkan lagi suasana sambutan bersama saluran Dunia Ria, TV2.
RTM dengan kerjasama Malaysia Book of Record sekali lagi berpeluang untuk menyiarkan rakaman program Miss Tourism International 2009 yang telah diadakan di sebuah hotel bertaraf lima bintang iaitu di Hotel Sunway Resort and Spa, Kuala Lumpur pada 31 Disember tahun lalu.
Penganjuran Miss Tourism International 2009 bertujuan untuk memperkenalkan negara yang diwakili selain mengangkat warisan dan kebudayaan serta pelancongan bagi setiap negara. Ia sekaligus menyatukan pelbagai bangsa dalam sebuah pertandingan yang berprestij sebagai saingan dalam mencari yang terbaik.
Seramai 46 orang peserta telah menyertai acara gemilang ini hanya dengan satu tujuan untuk menobatkan siapakah yang layak bergelar ratu di antara puluhan mereka yang jelitawan mewakili setiap negara dari segenap pelusuk dunia.
Antara Negara-negara yang mengambil bahagian adalah Argentina, Australia, Bolivia, Brazil, Finland, Hong Kong, Indonesia, Monggolia, USA, Venezuela, Singapura dan banyak lagi negara lain termasuklah negara Malaysia.
Menariknya Malaysia turut tidak ketinggalan mengambil bahagian dengan menghantar seorang wakil yang cukup jelita dan memiliki IQ yang sememangnya antara yang terbaik. Miss Tourism Malaysia yang dimaksudkan adalah Edwina Markus yang hadir dengan pakej lengkap standing dengan peserta-peserta yang lain.
Untuk mengetahui keputusan serta cabaran-cabaran yang telah dilalui oleh gadis-gadis jelita yang telah berkumpul di Malaysia bagi merebut gelaran ratu, jangan lupa untuk menyaksikan Miss Tourism International 2009 yang bersiaran pada 14 Februari 2010 (Ahad), jam 5.30 petang di TV2 sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.