26 Episod “Gerimis Salju Naminara” Berlatarkan Seoul, Setiap Khamis dan Jumaat, pukul 10.05 Malam Di TV1
Membariskan pelakon popular masa kini seperti Tasha Shilla sebagai Ain, Nazim Othman (Fauzan), Afiq Muiz (Faiz) dan Syatilla Melvin (Mira), Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai hari ini menerusi slot Arca membawakan drama bersiri “Gerimis Sajlu Naminara” (GSN) menerusi saluran TV1.
Disiarkan sebanyak 26 episod, setiap Khamis dan Jumaat, pukul 10.05 malam, drama rantaian arahan M Nazir Johan atau nama ringkasnya, Jet Lee ini turut dibantu pelakon berpengalaman seperti Fazlina Ahmad Daud, Zarina Zainuddin dan Arash Mohd.
Menariknya drama ini menjalani penggambaran yang memaparkan keindahan beberapa lokasi di Seoul, Korea.
GSN mengisahkan Ain, Fauzan dan Faiz, tiga sahabat baik yang belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Seoul. Bagaimanapun, Ain dan Fauzan adalah sepasang kekasih yang pada masa sama Faiz turut menyintai Ain.
Konflik timbul apabila selepas menamatkan pengajian di Seoul, Ain mahu balik memulakan kerjayanya di Malaysia sementara Fauzan pula mahu terus menetap di negara itu untuk mencari pengalaman bekerja di bumi asing.
Sekembalinya Ain ke Malaysia dia bekerja di firma milik bapa Mira. Tanpa pengetahuan Ain, kedua-dua keluarga Mira dan Fauzan mahu menjodohkan mereka berdua. Akhirnya atas desakan keluarga, Fauzan pulang ke Malaysia dan bertunang dengan Mira lalu meninggalkan Ain dalam kekecewaan.
Mira juga tidak mengetahui yang Fauzan dan Ain pernah bercinta sehinggalah mereka bertiga pergi ke Seoul semula atas urusan perniagaan. Untuk mengetahui apakah yang berlaku kepada mereka bertiga, kita nantikan kesudahannya hanya di TV1.