Ketika satu sidang media mengenai kedatangan mereka sempena persembahan konsert Twin Towers @Live 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dua tahun lalu, kumpulan popular, Backstreet Boys (BSB) berjanji akan kembali dengan sebuah konsert mega di negara ini. Nyata, ia bukan janji kosong apabila lima anggota ini akan mengadakan konsert jelajah, ‘In A World Like This’ pada 3 Mei nanti.
Memilih Stadium Negara sebagai lokasi konsert, penganjur, The Livescape Group menjangkakan ia akan menjadi konsert antarabangsa paling hebat pada tahun ini yang mampu tarik perhatian lebih 6,000 peminat untuk datang berhibur.
Pengarah Acara, Rahul Kukreja berkata, mereka amat gembira apabila berpeluang menjalinkan kerjasama membawa BSB kembali ke Malaysia.
“Sebagai salah satu kumpulan penyanyi terbesar dan paling popular di dunia, kami yakin bahawa penampilan mereka di Kuala Lumpur sangat dinantikan,” katanya.
BSB yang dianggotai AJ McLean, Howie Dorough, Kevin Richardson, Brian Littrell dan Nick Carter diminati ramai peminat remaja sejam era 1990-an dan pernah mengadakan konsert besar di sini sekitar tahun 2001.
Ditubuhkan pada tahun 1993 dan kini selepas 20 tahun BSB bertapak di persada muzik hiburan antarabangsa, mereka membuktikan masih mempunyai ramai peminat di seluruh dunia.
Mula mencipta kemasyhuran menerusi album pertama berjudul Backstreet Boys pada tahun 1996, lagu As Long As You Love Me berjaya mencipta fenomena tersendiri. Tiga album terdahulu mencatatkan jualan sebanyak 55 juta unit di seluruh dunia.
Antara lagu popular lain yang pernah menduduki tangga teratas carta Billboard, ‘Everybody (Backstreet’s Back)’, I Never Break Your Heart, Quit Playin’ Games in My Heart, All I Have To Give, I Want It That Way, Incomplete, Larger Than Life, Drowning dan Shape Of My Heart.
Selepas mencipta pelbagai kejayaan, BSB mengambil keputusan berehat selama dua tahun sebelum mereka kembali dengan album ‘Never Gone’ pada tahun 2005. Selepas selesai konsert jelajah album itu pada 2006, Kevin Richardson meninggalkan kumpulannya untuk mengejar kerjaya solo dalam nyanyian, peragaan dan lakonan.
Walau tinggal berempat, BSB terus mengadakan promosi dan melancarkan dua album, ‘Unbreakable’ pada 2007 dan ‘This Is Us’, pada 2009.
Pada 2012, BSB mengumumkan berita gembura pada seluruh dunia apabila Richardson menyertai semula kumpulan itu secara kekal. Pada tahun 2013, band ini menyambut ulang tahun ke-20 mereka dengan melancarkan album, In A World Like This.
Untuk persembahan kali ini, BSB melakukan jelajah Asia ke beberapa negara lain termasuk Taiwan, Singapura dan Filipina.
Tiket berharga dari RM208 sehingga RM688 akan dijual mulai 7 Februari ini dan seterusnya melalui www.ticketpro.com.my. Untuk maklumat lanjut atau mendapatkan maklumat terkini tentang persembahan BSB ini boleh layari https://www.facebook.com/livescapeasia.