in ,

Filem Menarik Sempena Gong Xi Fa Chai 2010

FILEM-FILEM GENRE AKSI TAYANGAN KHAS RTM MERAIKAN GONG XI FA CHAI 2010

Genre aksi menjadi pilihan Radio Televisyen Malaysia (RTM) apabila membariskan filem-filem dan aktor-aktor hebat dengan genre sama bakal menghiburkan penonton setia salurannya sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina 2010 ini. Menyaksikan penampilan hero dan heroin handalan seperti Jackie Chan, Chow Yun Fatt, Datuk Michelle Yeh, Takeshi Kaneshiro, Zhang Ziyi, Andy Lau dan Stephen Chow, pastinya ia mampu memenuhi citarasa penonton yang belum lagi berkesempatan menyaksikan filem-filem ini sewaktu ditayangkan di layar perak.

Lima filem yang telah dipilih melibatkan filem The Tuxedo (13 Februari 2010, jam 10.00 malam), Escape From Huang Shi (14 Februari 2010, jam 2.00 petang), House of Flying Daggers (14 Februari 2010, jam 8.30 malam) dan Kung Fu Hustle (15 Februari 2010, jam 8.30 malam) selain filem animasi Finding Nemo (15 Februari 2010, jam 12.30 tengah hari).

Membariskan bintang-bintang terkenal seperti Jackie Chan, Jennifer Love dan Jason Isaacs, The Tuxedo disiarkan mengisi slot Saturday Nite Chinese New Year Special On 2 ini membawakan kisah Jimmy Tong sebagai seorang pemandu kepada jutawan, Clark Devlin. Hinggalah berlaku kemalangan ke atas diri Devlin yang menyebabkannya terlantar di hospital. Tong kemudiannya diarahkan pulang untuk mengambil barang berharga milik Devlin. Muncul seseorang yang tidak dikenali cuba untuk mencuri tuxedo milik majikannya itu yang tidak diketahui oleh Tong sebenarnya tuxedo itu memiliki kuasa luar biasa kepada sesiapa yang memakainya.

Escape From Huang Shi membawakan kisah wartawan British muda bernama George Hogg, jururawat warga Australia sebagai seorang pembantu yang berani dan pejuang gerila orang-orang Cina dalam misi untuk menyelamatkan sekumpulan anak-anak yatim semasa zaman pendudukan Jepun di China pada tahun 1937. Filem hebat tahun 2008 arahan Roger Spottiswoode ini mengetengahkan gandingan pelakon terkenal Chow Yun Fatt, Datuk Michelle Yeh, Radha Mitchell dan Guang Li.

Filem arahan pengarah tersohor Zhang Yimou, House of Flying Daggers memaparkan kisah berlaku di negara China pada Abad ke 9 sewaktu pemerintahan Dinasti Tang. Ketika itu pemerintahan kerajaan lemah dan dibayangi dengan rasuah berlaku di kalangan pemerintah sendiri. Hinggalah muncul kumpulan tentera digelar ‘The House of The Flying Daggers’ bertarung untuk menentang tentera kerajaan yang bertindak untuk merampas kekayaan orang-orang berharta untuk diagihkan kepada rakyat miskin. Ia menyaksikan lakonan penuh aksi Takeshi Kaneshiro, Zhang Ziyi dan Andy Lau.

Kung Fu Hustle pula berkongsi kisah Kota Shanghai pada 1940-an dianggap sebagai tempat yang berbahaya. Penduduk kota ditindas oleh berbagai geng perompak yang bermaharajalela. Salah satu geng yang paling ditakuti adalah Geng Kapak. Meskipun dibenci masyarakat, bagi Ah Sing (Stephen Chow), mereka adalah idola. Ah Sing obses untuk menjadi anggota Geng Kapak. Karena niatnya tidak tercapai, ia hanya mampu berpuas diri dengan berpura-pura menjadi anggota Geng Kapak. Wilayah “jajahan” Geng Kapak meliputi seluruh Shanghai. Namun, ada sebuah kawasan yang belum tersentuh, iaitu Geng Babi. Pada suatu hari, Ah Sing dan temannya, Bone (Lam Chi Chung) yang menyamar menjadi anggota Geng Kapak, mencuba memeras wang dari penduduk Gang Babi.

Secara tidak sengaja, Geng Kapak yang asli muncul dan menyerbu Geng Babi. Yang menghairankan, semua anggota Geng Babi nampaknya sangat menguasai ilmu bela diri kungfu. Dari kejadian ini, Ah Sing menemukan kemampuan yang selama ini tersembunyi dalam dirinya.

Penggemar filem animasi pula anda dijanjikan Finding Nemo yang berkongsi pengalaman mencabar di bawah air kisah tentang anak beranak ikan yang menyeronokkan. Si anak, Nemo membesar sebagai ikan yang nakal dan selalu untuk ‘curi-curi’ keluar dari rumah di Great Barrier Reef, Australia. Begitu pun segalanya menjadi mimpi ngeri dalam diri Nemo apabila dia terperangkap dalam tangki penjabat doktor gigi di Sydney.

Jangan lupa janji temu anda menyaksikan filem-filem yang telah dipilih untuk menghiburkan anda sepanjang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina ini hanya menerusi Saluran Dunia Ria, TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

BOH Cameronian Arts Awards 2010

Program Menarik TV3 Sempena Tahun Baru Cina 2010