Desas desus rumah tangga Diana Rafar dan Zamarul Hisham yang dibina sejak 16 Mei 2009 berantakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering mencuri tumpuan ramai. Bagaimanapun cerita itu sesekali berlalu sepi apabila ditepis terutama Diana sendiri.
Tetapi nampaknya rumah tangga pasangan ini yang dikurniakan anak lelaki bernama Kashfi Haikal berusia lima tahun tidak mampu dipertahankan lagi. Diana yang juga duta produk Perla Coffee itu sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya itu hari ini di sebuah mahkamah di Shah Alam.
“Ya, saya sudah memfailkan perceraian sekitar jam 1 tengah hari tadi. Bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lanjut punca perpisahan kami lagi buat masa ini. Saya reda dengan apa yang terjadi,” katanya.
Di sebalik dugaan hebat ini, Diana turut berkongsi mengenai dirinya yang sudah mengenakan tudung sejak 23 Disember lalu.
“Di sebalik dugaan hidup yang saya lalui termasuk kisah rumah tangga yang sering menjadi buruan, saya sedar ini semua ujian Tuhan untuk saya jadi lebih kuat. Saya barangkali gembira dengan perniagaan dan kerjaya, tapi ada yang bagaikan tidak lengkap.
“Seperti kosong. Saya sendiri tertanya apa yang bermain di fikiran itu. Dan tanpa diduga saya tergerak hati untuk bertudung. Malah sebelum itu, saya jadi macam malas dan segan nak keluar rumah.
“Saya bermula dengan mengenakan selendang dan rasa yakin diri untuk keluar rumah. Keesokan harinya, saya tanggalkan kembali selendang itu jadi janggal. Kemudian saya nekad mengambil tudung. Saya sedar kebahagiaan yang ditarik itu diganti dengan cara sebegini,” katanya tenang.
sumber : Berita Harian