in

Mayat Mangsa Pesawat AirAsia Indonesia Dikenalpasti

AirAsia Indonesia ingin menyampaikan perkembangan terkini berkenaan misi mencari dan menyelamat penerbangan QZ 8501.

Pengenalpasti Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI POLRI) hari ini telah mengesahkan bahawa satu jenazah penumpang dalam penerbangan QZ 8501 telah dikenalpasti sebagai Hayati Luthfi Hamid (wanita). Pengesahan tersebut telah diumumkan selepas padanan ujian forensik dan ante-mortem dengan sampel DNA yang telah diberikan oleh waris.

Sunu Widyatmoko, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia menyerahkan jenazah kepada anggota keluarga dalam satu upacara di Hospital Bhayangkara, Surabaya.

Sunu berkata, “Bagi pihak semua di AirAsia, kami menghulurkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat handai Allahyarham Hayati Luthfi Hamid. AirAsia akan terus menyediakan apa yang diperlukan oleh keluarganya bagi melalui saat yang sukar ini.”

Awal hari ini, BASARNAS juga telah mengesahkan bahawa enam daripada tujuh jenazah penumpang QZ 8501 yang telah ditemui di Selat Karimata telah dibawa ke Hospital Bhayangkara pada pagi ini untuk dikenalpasti serta-merta oleh Pengenalpasti Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI POLRI).

Pasukan DVI sedang menjalankan usaha pengenalpastian menyeluruh melalui pemeriksaan DNA dan ujian forensik.

Sementara itu, usaha mencari dan menyelamat masih berterusan. Menteri Pengangkutan Indonesia telah mengarahkan 5 kapal tambahan ke kawasan pencarian. Setakat ini, lebih daripada 90 kapal dan pesawat dari pelbagai negara seperti Singapura, Malaysia, Korea Selatan, Amerika Syarikat terlibat dalam operasi.

Maklumat lanjut akan disalurkan sebaik sahaja ia didapati.

Ingatan dan doa kami ditujukan kepada keluarga dan sahabat handai para penumpang dan kakitangan kami dalam penerbangan QZ8501.

PERKEMBANGAN TERKINI PENERBANGAN AIRASIA INDONESIA QZ 8501

31 DISEMBER 2014 20:00 JAM WAKTU TEMPATAN (GMT+7) 

SURABAYA, 31 DISEMBER 2014 – 

AirAsia Indonesia ingin memberikan perkembangan terkini, bahawa Badan SAR Nasional (BASARNAS) Republik Indonesia dan pihak berkuasa yang berkenaan meneruskan usaha mencari dan menyelamat para penumpang QZ 8501 di kawasan Selat Karimata.

Awal hari ini, Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan pihak pengurusan AirAsia telah melawat pangkalan tentera di Pangkalan Bun untuk menemui pihak-pihak utama yang terlibat dengan operasi SAR. Fernandes telah bertemu dengan Timbalan Gabenor Kalimantan Tengah, Achmad Diran; Marsekal Muda TNI Sunarbowo Sandi; Ketua Operasi Bersama Wilayah II, Marsekal Muda TNI Abdul Muis; Ketua Operasi Bersama Wilayah I, Marsekal Muda TNI Agus Dwi Putranto; Ketua Polis Kalimantan Tengah, Brigadier Jeneral Hermanu dan Timbalan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Marsekal Pertama TNI Supriyadi.

Fernandes berkata: “Saya berasa terharu dan tersentuh dengan usaha yang luar biasa dan profesionalisma yang ditunjukkan oleh pihak BASARNAS, Tentera, Tentera Laut, Tentera Udara dan Polis Indonesia. Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan telah dibelenggu cuaca buruk hari ini, namun saya berharap mereka dapat meneruskan usaha mencari esok.”

Sehingga kini, BASARNAS mengesahkan telah menjumpai tujuh mayat, yang telah dibawa ke pangkalan tentera di Pangkalan Bun, Borneo. Dua daripada tujuh mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Bayangkara di Surabaya untuk dikenalpasti oleh Pengenalpasti Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI POLRI).

Keutamaan AirAsia ialah menjaga kebajikan para keluarga yang terjejas akibat tragedi ini.

Maklumat lanjut akan disalurkan sebaik sahaja ia didapati. Sebuah pusat panggilan kecemasan telah ditubuhkan bagi ahli keluarga mendapatkan maklumat. Ahli keluarga penumpang QZ8501, sila hubungi:

Malaysia: +60 3 21795959
Indonesia: +62 2129270811
Singapore: +65 63077688
Korea: 007 98142069940

Ingatan dan doa kami ditujukan kepada keluarga dan sahabat handai para penumpang dan kakitangan kami dalam penerbangan QZ8501.

Perhatian kepada Pengarang: Kami meminta jasa baik media untuk tidak menghubungi Pusat Panggilan Kecemasan AirAsia, kerana ia dikhaskan untuk ahli keluarga para penumpang untuk mendapatkan maklumat terkini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kata Hati Lana Nordin Dalam Slot Widuri Di TV1

Galeri Petronas & Faber-Castell Persembahkan Seni di Taman