Peringatan dan hidayah Allah datang kepada seseorang menerusi pelbagai cara juga pendekatan. Membaca sejarah Rasulullah S.A.W. dari zaman kanak-kanak sehingga saat kematiannya, ia begitu memberi keinsafan kepada kita. Apatahlagi bila tibanya sambutan Maulidur Rasul yang disambut pada 12 Rabiulawal 1436H atau tahun Masehi pada 3 Januari 2015.
Baginda adalah idola yang sebenar yang perlu kita contoh sifat mulia dan pengorbanannya terhadap agama Islam. Justeru seharusnya kita mengingati Rasulullah S.A.W. pada setiap hari.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton setia salurannya menghayati sambutan Maulidur Rasul dengan menyaksikan sebuah drama masyarakat bertajuk “Seindah Kasihmu” pada 3 Januari 2015, pukul 9.00 malam di TV1.
Khas Maulidur Rasul Di RTM – Telemovie “Seindah Kasihmu” Lakonan Aeril Zafril Di TV1
Menampilkan pelakon utama Aeril Zafril, Dato’ Zulkifli Zain dan Ammar Baharin, telemovie khas Maulidur Rasul ini turut dibintangi oleh Agnes Wong Chin Lian, Dato’ Baharudin Hj. Omar dan Wong Sip Nen.
Seindah Kasihmu mengisahkan kehadiran Atan, remaja belasan tahun di kampung mereka dianggap misteri oleh masyarakat setempat kerana tiada siapa tahu asal usulnya dan latar belakang keluarganya. Mengikut cerita orang kampung, Atan adalah anak yatim piatu dan tinggal seorang diri di hujung kampung. Atan tidak bersekolah,tetapi pandai mengaji dan rajin solat berjemaah di surau kampung itu.
Perawakan Atan agak selekeh menyebabkan dia sering menjadi mangsa ejekan budak-budak kampung terutamanya Zuki anak Haji Munir yang terkenal sebagai orang kaya di kampung itu. Haji Munir dan keluarganya sering menganggap Atan tidak waras. Tetapi seperti biasa Atan senyum saja walau apa ejekan yang ditujukan kepadanya.
Meskipun ramai yang mencemuhnya, namun Atan mendapat layanan baik daripada Tauke Meng, pemilih kedai runcit di bandar. Malah anaknya Lilian juga sering mengajar Atan membaca. Zuki yang bersekolah sama dengan Lilian sering mencemuh sikap Lilian yang tidak jijik berkawan dengan Atan. Lilian kesal kerana Zuki dan keluarganya yang kaya raya malah seagama dengan Atan tidak memberi contoh yang baik kepada masyarakat bukan Islam sepertinya sedangkan sepanjang pengetahuannya, agama Islam sentiasa meminta penganutnya sentiasa berbuat baik sesama mereka.
Haji Munir tidak pernah menghalang atau menegur sikap Zuki malah dia sendiri memberi amaran agar Atan tidak sesekali menjejakkan kakinya ke kawasan banglonya. Tetapi di hadapan orang lain, Haji Munir sering bercerita mengenai derma yang diberinya kepada orang-orang susah di kampungnya. Haji Munir bangga kerana dia merupakan orang terkaya dan ternama di kawasan itu, malah namanya sering disebut-sebut sebagai seorang dermawan oleh orang-orang dari bandar dan pekan berdekatan.
Walaupun begitu, Imam Syuib amat sedar dengan sikap munafik Haji Munir dan layanan buruknya terhadap Atan. Imam Syuib sedar ada sesuatu yang istimewa tentang diri Atan yang masih belum berjaya ditafsirkan olehnya. Setiap kali melihat wajah jernih Atan yang sentiasa ada setiap kali dia mengimamkan solat jemaah di surau, Imam Syuib jadi terharu. Malah Imam Syuib telah menghadiahkan sehelai sejadah dan beberapa persalinan pakaian untuk Atan. Yang menghairankannya,pakaian itu hanya digunakan oleh Atan ketika solat sahaja, sedangkan pada waktu lain Atan lebih selesa mengenakan pakaiannya yang sedia ada.
Suatu hari, ketika Haji Munir sedang menunggu waktu maghrib tiba, dia duduk diberanda rumah sambil memerhati sekelilingnya dan berasa bangga dengan semua yang dimilikinya. Tanpa disedarinya, Atan tercegat berdiri di hadapannya. Haji Munir terkejut besar dan hairan melihat Atan di situ. Haji Munir marah dan menghalau Atan yang meminta makanan daripadanya. Namun dia terkejut sebaik azan berkumandang, Atan hilang daripada pandangan.
Haji Munir menfitnah Atan menceroboh masuk rumahnya. Namun Imam Syuib mempertahankan Atan yang ada bersamanya ketika kejadian tersebut. Malah ada ramai saksi yang turut melihat kehadiran Atan di surau. Tauke Meng yang turut terdengar cerita itu cuba bertanya kepada Atan, tetapi Atan hanya tersengih dan mengatakan Haji Munir salah orang.
Selang beberapa hari kemudian, Haji Munir sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran Atan yang tiba-tiba muncul dihadapannya meminta makanan dan minuman daripadanya. Dia mula meracau-racau tidak menentu. Imam Syuib hanya menggeleng-gelengkan kepala mendengar cerita Pak Sahak, pemandu Haji Munir. Imam Syuib yakin pasti ada penjelasan disebalik peristiwa pelik yang dialami oleh Haji Munir itu.
Imam Syuib mengadakan mesyuarat dengan AJK surau mengenai sambutan hari Maulidur Rasul yang akan beberapa hari lagi. Atan yang berada di situ khusyuk mendengar penerangan Imam Syuib. Atan tiba-tiba mengangkat tangan dan beritahu Imam Syuib pada hari maulidur rasul nanti ramai sahabat-sahabatnya akan datang ke kampung itu dan mereka akan berkumpul di surau itu. Imam Syuib kehairanan dan bertanya siapa dan dari mana mereka datang,Atan hanya tersenyum dan berkata mereka semua orang baik-baik dan datang dari jauh. Imam Syuib dan AJK surau yang ada kehairanan mendengar kata-kata Atan.
Siapakah sebenarnya gerangan Atan? Berjayakah Atan menyuntik kesedaran masyarakat kampung yang memandang serong terhadap dirinya? Bagaimana pula dengan kesudahan Haji Munir?