RACUN CINTA ADAPTASI KISAH PESAKIT AIDS DI TV2
Komitmen kerjaya sebagai seorang doktor seumpama perantaraan seseorang yang bersabung nyawa dengan penyakit mahu pun kecelakaan untuk berjuang meneruskan kehidupan. Semangat dan kecekalan hati seorang doktor berdepan dengan situasi mencemaskan dalam usaha menyelamatkan nyawa seseorang pesakit sememangnya patut dicontohi dan diberikan pujian meskipun tiada balasan yang dipinta mereka untuk tanggungjawab yang dipikul.
Namun pada situasi berbeza apabila budi yang cuba ditabur untuk membantu seorang pesakit mengundang padah dan malang apabila doktor baik hati itu dijangkiti pula penyakit oleh mangsa yang dibantunya. Begitu kisah yang ingin dikongsi drama Racun Cinta yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 7 Februari 2010 (Ahad), jam 9.30 malam mengisi slot Sinema Ahad di TV2.
Racun Cinta mengetengahkan kisah yang terpaksa dilalui oleh watak Dr. Benjamin lakonan Tony Eusoff sebagai doktor yang sentiasa berjaga-jaga, dia langsung tidak menyangka bahawa dia akan dijangkiti oleh virus HIV.
Segalanya bermula bila dia membantu seorang mangsa kemalangan yang telah menghidapi AIDS di jalan raya. Malang tidak berbau, tangannya terluka sewaktu menyelamatkan mangsa yang pengsan dan seterusnya memberikan impak yang sangat besar pada kehidupan rumahtangganya.
Farina, isterinya yang dibawakan wataknya oleh Marissa Yasmin telah mengesyaki sesuatu pada Dr Benjamin bilamana dia sering mengelak untuk bermesra dengan keluarga. Hatinya remuk bila mengetahui bahawa Dr Benjamin merahsiakan penyakitnya dan bertindak meninggalkan suaminya.
Dr Benjamin tertekan dan cuba mencari kedamaian dengan mendekati pesakit-pesakit AIDS, dan ini membawanya bertemu dengan Aishah (Wan Norazlin). Dr Benjamin cuba mengadaptasikan kisah hidup dan penyakitnya dalam sebuah novel yang diberi nama Racun Cinta.
Namun mampukah Farina menerima hakikat penyakit suaminya itu? Lalu sekaligus sanggupkah dia bersama-sama mengharungi detik-detik sukar yang mencabar sebegitu?
Drama yang sarat dengan pengajaran berguna ini turut dibintangi oleh Suriati Abu Bakar (Atie AF) dan Shahrul Kamaluddin.