in

Drama Alfi Di Hati Ibu di TV2

DILEMA ‘ANAK EMAK’ DALAM DRAMA ALFI DI HATI IBU PADA 29 JANUARI 2010 DI TV2

Masyarakat kita baru-baru ini digemparkan dengan kisah pembuangan ibu bapa kandung yang tidak sepatutnya terjadi di kalangan masyarakat moden yang tinggi ilmu pendidikannya. Begitu pun situasi begini mungkin dapat dielakkan daripada terjadi sekiranya anak-anak terdedah sejak kecil dengan nilai kasih sayang serta hubungan yang rapat dengan kedua orang tua mereka.

Hubungan yang terlalu rapat pula adakalanya menimbulkan pula isu ‘anak emak’ yang kebiasaannya terjadi di kalangan anak tunggal. Cuba berkongsi plot-plot hubungan kasih sayang di antara seorang anak dan ibu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan drama bertajuk Alfi di Hati Ibu pada 29 Januari 2010 (Jumaat) mengisi slot Pilihan Jumaat, jam 2.30 petang di TV2.

Dijayakan wataknya oleh pelakon berpewatakan keibuan, Aida Radzwil bergandingan dengan  Wan Elyas sebagai anak, drama terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd ini mengisahkan tentang hubungan kasih sayang di antara seorang anak dan ibu di mana Alfi begitu kasih terhadap ibunya. Segala yang dilakukan semata-mata untuk ibunya. Hinggakan semasa di sekolah dia ditawarkan ke sekolah asrama penuh tetapi ditolak kerana takut tinggalkan ibunya sendirian di rumah.

Begitu juga ketika ditawarkan kolej setelah tamat menduduki SPM, Alfi rela memilih untuk melanjutkan pengajian di kolej yang berdekatan dengan tempat tinggalnya kerana takut berjauhan daripada ibunya.

Konflik terjadi setelah kemunculan Emran lakonan Dato’ Jalaludin Hassan, sahabat lama ibunya yang kemudiannya telah merenggangkan hubungan ibu dan anak ini. Alfi marah dan mengambil keputusan untuk tinggal dengan kawan-kawannya setelah ibunya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Emran.

Bermulalah episod hubungan yang renggang di antara anak dan ibu. Salah satu sebab Alfi bersikap demikian kerana dia tidak mempunyai sesiapa selain ibunya setelah kematian bapanya. Dia tidak pandai berkongsi terutama kasih ibunya.

Lalu apakah kesudahan bagi Alfi yang digelar ’anak emak’ ini? Mampukah dia berdepan kenyataan untuk berkongsi kasih sayang dengan lelaki lain merangkap ayah barunya. Untuk berkongsi jawapannya, jangan lupa janji temu menyaksikan Alfi di Hati Ibu pada 29 Januari 2010 (Jumaat) mengisi slot Pilihan Jumaat, jam 2.30 petang di TV2.

Alfi di Hati Ibu turut dibintangi oleh Sari Yanti dan Keifli.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

SUGARFLOURS Taja Kek Ulangtahun Ke-3 Budiey.com

Teater Kompilasi Vol. 3 TANDA