in

Dokumentari Generasi Asli @ 1 Malaysia TV9

PEMBANGUNAN ORANG ASLI MENERUSI

DOKUMENTARI GENERASI ASLI @ 1 MALAYSIA DI TV9

Walaupun hanyalah minoriti di negara ini, orang asli masih lagi tidak tercicir atau dilupakan di dalam usaha pembangunan Malaysia. Selari dengan kemajuan yang dikecapi oleh negara ini, kumpulan ini telah pun mendapat pelbagai bantuan oleh kerajaan dari segi penempatan, kesihatan, pembangunan ekonomi dan sosial. Oleh itu, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di bawah naungan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah menerbitkan sebuah dokumentari menarik berjudul Generasi Asli @ 1 Malaysia untuk TV9.

Menerusi program ini penonton dan masyarakat di luar akan dapat gambaran dan informasi sebenar tentang perkembangan, pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai oleh orang asli sejak tahun 1954 hingga 2009. Pelbagai kemajuan membanggakan dari pelbagai sudut telah dicapai oleh mereka hasil daripada usaha mereka sendiri dengan bantuan dari kerajaan Malaysia. Program Generasi Asli @ 1 Malaysia ini mengandungi 10 episod menarik dan mula ditayangkan di TV9 setiap hari Sabtu, jam 7.30 petang hingga 8.00 malam, mulai 23 Januari 2010 hingga 27 Mac 2010.

Majlis pelancaran program dokumentari Generasi Asli @ 1 Malaysia ini dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Y.B. Dato’ Seri Shafie Apdal. Turut hadir di majlis pelancaran ini adalah Ketua Pengarah, Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli, YBhg Dato’ Hj. Mohd Sani bin Mistam; Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar; pegawai-pegawai kanan KKLW, pegawai-pegawai JHEOA serta masyarakat Orang Asli.

Farah Diana Anuar yang merupakan pengacara kepada program dokumentari ini akan bersama-sama menjalani penggambaran di setiap lokasi perkampungan masyarakat Orang Asli. Menerusi dokumentari ini, turut dimuatkan peranan JHEOA yang telah banyak membantu komuniti ini yang juga merupakan tulang belakang dalam pembangunan Orang Asli. Usaha pihak JHEOA telah banyak memberi impak yang besar kepada komuniti ini, selaras dengan arus pembangunan Malaysia yang semakin maju.

Dokumentari ini akan menonjolkan suku kaum Orang Asli di Malaysia (Kumpulan Negrito, Kumpulan Senoi dan Kumpulan Melayu Proto) yang menetap di sembilan negeri di Malaysia seperti Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu. Setiap episod akan memaparkan tajuk dan isu yang berlainan iaitu Ekonomi, Prasarana, Wanita / Kanak-Kanak, Belia / Beliawanis, Pendidikan, Pembangunan Minda, Institusi Kepimpinan, Kesihatan, Kesenian dan Kebudayaan serta Ikon Orang Asli 2009.

Menerusi beberapa episod pertama ‘Ekonomi’, ia akan memfokuskan tentang kemajuan Orang Asli  di dalam sektor ekonomi termasuklah sektor perladangan, pertanian dan penternakan. Sesuai dengan peningkatan ekonomi masyarakat Orang Asli, episod kedua ‘Prasarana’ akan menunjukkan kemudahan infrastruktur sosial untuk penempatan komuniti ini seperti bekalan air dan elektrik, rumah kediaman, jalan kampung, dewan serbaguna, balai raya, surau, klinik kesihatan dan institusi pendidikan seperti tadika dan sekolah. JHEOA berperanan dalam menempatkan komuniti ini ke kawasan pinggiran pekan atau bandar, sesuai dengan ekonomi yang dijalankan.

Episod ‘Wanita / Kanak-Kanak’ pula memaparkan pencapaian dan kemajuan wanita dan kanak-kanak Orang Asli. Mereka sama-sama menyumbang ke arah kemantapan ekonomi keluarga dan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Dari segi akademik, kanak-kanak Orang Asli juga bersaing di mana kesedaran mengenai pendidikan semakin meluas di kalangan mereka. Sementara menerusi episod ‘Belia / Beliawanis’, ia memaparkan kejayaan golongan belia dan beliawanis Orang Asli  yang berkecimpung dalam pelbagai jenis perniagaan seperti kedai perabot, perusahaan tanaman, kiosk kraftangan dan bengkel

membaiki kenderaan. Turut difokuskan adalah pelbagai program bantuan bimbingan usahawan dan kursus yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu mereka dalam bidang keusahawanan.

Siapa kata masyarakat mereka ketinggalan? Tidak sama sekali kerana ramai di kalangan mereka yang telah menjejak ke menara gading. Ini dikupaskan melalui episod ‘Pendidikan’ mendalami kemudahan tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah yang terdapat di penempatan-penempatan masyarakat Orang Asli dengan bantuan sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Terdapat juga pelbagai usaha kerajaan yang melatih tenaga pengajar untuk mendidik dan memastikan kejayaan Orang Asli dan melahirkan modal insan yang berguna.

Bagi episod ‘Pembangunan Minda dan Institusi Kepimpinan’ pula, penggambaran dilakukan di pusat-pusat kemahiran yang melatih generasi muda Orang Asli di dalam pelbagai sektor pembuatan dan perkhidmatan, sebagai asas memahirkan diri sebelum diserap ke alam pekerjaan. Perbicaraan mengenai peranan Ketua Kampung, Penghulu atau dipanggil Tok Batin di sesetengah perkampungan Orang Asli turut diterjemahkan melalui Institusi Kepimpinan. Episod ‘Kesihatan’ memfokuskan tahap dan kemudahan kesihatan bagi masyarakat Orang Asli. JHEOA wajar diberi pujian kerana sentiasa meningkatkan taraf kesihatan masyarakat ini dengan memastikan asas kesihatan disediakan seperti balai rawatan, pusat transit, klinik desa dan hospital.

Episod menarik iaitu ‘Kesenian dan Kebudayaan’ menceritakan tentang keunikan kesenian dan kebudayaan masyarakat Orang Asli di mana mereka merupakan salah satu agen penyumbang kepada kekayaan khazanah tanah air dengan kepelbagaian kaum, bangsa dan adat istiadat. Sementara ‘Paparan Istimewa’ pula akan lebih fokus kepada cabaran dan komitmen yang dilalui oleh JHEOA dan juga kakitangan agensi kerajaan yang terlibat, khususnya untuk ke penempatan komuniti Orang Asli di pedalaman bagi menyalurkan bantuan, perkhidmatan dan rawatan kesihatan.

Akhir episod yang ditunggu-tunggu iaitu ‘IKON Orang Asli 2009’ memperlihatkan kepada masyarakat umum beberapa Ikon Orang Asli yang berjaya di dalam pelbagai bidang dan menjadi contoh kepada komuniti mereka. Ia menunjukkan kejayaan yang telah dicapai untuk muncul sebagai warganegara Malaysia yang setanding dan berdaya saing dengan kaum majoriti yang lain.

Hasil program ini menunjukkan usaha kerajaan ke arah pembangunan yang lebih terancang dan sistematik dapat diterima oleh komuniti Orang Asli dan inilah perubahan minda dan sikap positif yang diingini. Program ini pastinya akan menyuntik semangat kepada generasi muda Orang Asli untuk sama-sama memajukan diri dalam pelbagai aspek. Selain itu, masyarakat umum juga boleh menjadikan program bermanfaat ini sebagai rujukan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan sama-sama bersatu ke arah kemajuan negara Malaysia.

Oleh itu, marilah sama-sama menjana minda dan ilmu pengetahuan dengan menonton program dokumentari Generasi Asli @ 1 Malaysia setiap hari Sabtu, jam 7.30 petang hingga 8.00 malam, mulai 23 Januari 2010, hanya di TV9, saluran Di Hatiku!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

SEKITAR KEMERIAHAN MALAM BLOGGER ASTRO B.YOND

The Legend Of Zorro Lakonan Antonio Banderas di TV2