Semalam telah berlangsung Majlis Prebiu Filem Duhai Si Pari-Pari di Golden Screen Cinemas MId Valley. Kesemua penggerak utama filem terbitan Tayangan Unggul ini hadir. Antaranya, Que Haidar, Harun Salim Bachik dan dua orang pelakon wanita yang Budiey kira adalah pelaris untuk filem Duhai Si Pari-Pari iaitu Liyana Jasmay dan Nabila Huda.
Sempena dengan dunia fantasi dan kayangan si Pari-Pari, kesemua yang hadir juga berpakaian serba putih. Taglinenya macam Budiey pernah dengar aje.. “Cerita Cinta Biasa Tapi Luar Biasa..” ooo patutlah, ada iras-iras tajuk lagu Dato’ Siti Nurhaliza rupanya.
Bagi Budiey, filem ini sangat ringan dan penonton boleh terhibur dengan komedi yang dilakonkan oleh semua pelakon. Cuma Budiey lihat karakter Que Haidar agak pelik sedikit. Mengingatkan Budiey tentang watak Jim Carrey dalam beberapa buah filemnya yang menggunakan ekspresi muka yang sangat maksimum. Kadang-kadang kalau kita tengok memang karakternya sangat aneh dan keterlaluan. Namun, syabas buat pengarah yang pertama kali mengarah filem. Bukan senang untuk buat penonton ketawa.
Ironinya, Que Haidar pernah berlakon bersama Nabila Huda dalam sebuah drama di TV3 berjudul Cinta Untuk Ain. Pastinya, penonton akan melihat persamaan dan perbezaan karakter yang Que Haidar boleh bawa. Impak, keberkesanan dan cara penyampaian itu memang penting sebab dari situ sesebuah filem diukur. Dan Que Haidar begitu berterus terang dengan media semalam, sebab pertama dia memilih untuk berlakon dalam filem ini adalah kerana duit. Itu memang benar. Semua pelakon memang mahu duit. Kalau tak macamana nak sara hidup kan?
Filem yang menelan belanja RM1.4 juta ini menampilkan cerita Fairy Tale Comedy. Dikuatkan lagi dengan lakonan dari cameo seperti Hans Isaac, Zizan Raja Lawak, Farid Kamil dan Aziz Satar.
Oh ya, pelakon drama Nur Kasih, Remy Ishak pun ada dalam filem ni. Dia jadi devil si penjahat yang bersekongkol dengan watak Mala lakonan Nabila Huda. Budiey difahamkan pengambaran filem ini dibuat pada tahun 2007, bermakna pada masa itu Remy Ishak masih nak bertapak dan Liyana Jasmay pun nampak tembam dalam filem ini.
Untuk info pembaca, filem arahan pertama Azmi Md Hata ini akan ditayangkan mulai 31 Disember 2009. Kiranya, filem ini adalah filem penutup untuk tayangan filem Melayu. Dalam masa yang sama menjadi filem pertama yang akan ditayangkan untuk tahun 2010.