Pelakon dan pengacara Elaine Daly sah bergelar isteri kepada Nick Borden. Majlis diadakan di restoran makanan Itali, Ciao yang terletak di Jalan Kampung Pandan, petang semalam. Majlis perkahwinan bertemakan dalam taman itu bermula dari petang dan berlarutan hingga ke malam.
Lelaki pilihan Elaine bergelar duda anak satu dan bertugas sebagai doktor yang dikenalinya sejak Mac lalu. Borden berasal dari Afrika Selatan dan sudah 10 tahun menetap di Malaysia selain mendapat taraf penduduk tetap. Mereka bertunang pada Julai lalu.
Pasangan ini dijangka berbulan madu selepas majlis keraian diadakan bagi pihak suaminya di Johannesburg, Afrika Januari depan.
“Selepas itu kami merancang untuk berbulan madu di Zimbabwe. Apapun saya bersyukur semuanya berjalan lancar. Sabtu ini akan ada majlis tertutup meraikan kami di sebuah lokasi rahsia,” katanya.
Menyifatkan suaminya itu sebagai permata indah yang hadir dalam hidupnya. Malah saat dilamar di Pulau Maldives beberapa bulan lalu ketika matahari sedang terbenam menjadi saat paling bahagia buat pengacara program Bella di ntv7 ini.
“Ingat lagi saat saya diajak ke hujung sebuah jeti. Dia (suami) beritahu mahu merakamkan gambar saya berlatarbelakangkan matahari terbenam tetapi alih-alih sebaik saya memusingkan badan, dia sudah melutut dan melamar saya,” kata bekas Ratu Cantik Malaysia ini.
sumber: Berita Harian