Siri DFP Spotlight bakal mempersonakan khalayak muzik tempatan dengan meraikan penglibatan 15 tahun Dayang Nurfaizah dalam bidang seni suara pada hari Isnin, 3 November 2014 jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.
Siri ini menampilkan artis-artis tempatan menyerlahkan bakat melalui genre muzik mereka dan memberikan platform untuk pencinta muzik menghargai bakat artis-artis muda. Dayang Nurfaizah memasuki senarai artis-artis yang telah dikemukakan melalui siri ini seperti Yuna, Najwa, Aizat, Hafiz, Hujan, Rachel Guerzo dan Noryn Aziz yang telah mempersonakan peminat mereka di pentas DFP.
Dayang bukan asing di kalangan penonton-penonton DFP; kali terakhir beliau beraksi ialah bersama penyanyi Anuar Zain dalam sebuah konsert amal pada tahun 2012. Namun kali ini, beliau bakal beraksi solo dalam sebuah konsert yang meraikan perjalanan seni yang telah meletakkan beliau sebagai salah seorang artis berbakat tanahair.
DAYANG NURFAIZAH RAI 15 TAHUN DALAM BIDANG SENI DI DFP!
Sejak beliau menyertai bidang seni melalui sebuah pertandingan nyanyian di televisyen, diikuti dengan penghasilan album perdana pada tahun 1999, Dayang tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau telah mempersonakan khalayak dengan suara serak basah, album-album yang bermutu dan persembahan ‘live’ yang hebat. Maka tidak mengejutkan beliau digelar puteri R&B Malaysia, dengan ‘trademark’ beliau yang tersendiri dalam setiap lagu yang dialunkannya.
Memiliki 9 buah album penuh setakat ini, beliau sudah berkolaborasi dan membuat persembahan dengan nama-nama besar dalam bidang seni seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Dato’ Ramli Sarip, dan juga artis-artis ternama dari Indonesia seperti Glenn Fredly, Ruth Sahanaya dan Harvey Malaihollo.
Dayang telah menerima pelbagai anugerah dalam bidang seni seperti Vokal Wanita Terbaik (dari album Anuar & Dayang ‘Live’ at DFP) di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2013, Lagu Terbaik (untuk Seandainya Masih Ada Cinta) di AIM 2002, Lagu Terbaik kategori Balada (untuk Seandainya Masih Ada Cinta) dan Lagu Terbaik kategori Etnik (untuk Erti Hidup) di Anugerah Juara Lagu 2002 dan 2004, dan Kolaborasi Terbaik untuk lagu Sayang bersama Marcell di Anugerah Planet Muzik 2011. Ini hanya sebahagian dari penghargaan yang pernah beliau terima sepanjang karier.
Untuk konsert istimewa ini, Dayang akan membawa peminat-peminat mengimbau kenangan lama menyusuri titik permulaan kerjaya beliau di Kuching, Sarawak, hinggalah ke hari ini melalui lagu-lagu, antaranya, Sedingin Mana Cintamu, Pintaku Yang Terakhir, Bahagia, Kembalilah Sayang, Hakikat Cinta, Dayang Sayang Kamu, Di Pintu Syurga dan beberapa medley yang bakal mengejutkan. Beliau bakal diiringi dengan pemuzik-pemuzik hebat di bawah pimpinan Pengarah Muzik Jenny Chin.
Kesemua tiket-tiket untuk menyaksikan konsert ini telah habis dijual. DFP boleh memuatkan seramai 900 orang pada satu masa.
Maklumat Konsert
‘Dayang Nurfaizah – A Celebration of 15 Years in Music’
Tarikh
Isnin, 3 November 2014 jam 8.30 malam
Tempat
Dewan Filharmonik PETRONAS
Menara Berkembar PETRONAS
Artis
Dayang Nurfaizah
Harga Tiket
RM100 dan RM180 (sold-out)
Waktu Operasi Box Office
Selasa ke Sabtu: 10.30 pagi – 6.30 petang, 9.00 malam (pada malam persembahan)
Ahad: 12.00 tengahari hingga waktu persembahan
(Tutup pada hari Isnin dan Cuti Am kecuali jika ada konsert berjadual)
Tempahan Telefon: 03-20517007 Tempahan Fax: 03-20517077
Tempahan Email: [email protected]
Laman Web DFP / MPO: www.mpo.com.my
Facebook: fb.mpo.com.my