Berita baik buat peminat kumpulan De’Meises yang dianggotai lima anak muda ini akan datang ke Malaysia untuk mempromosikan album terbaru mereka pada awal bulan November nanti. Wah, tak sabar Budiey nak jumpa mereka sebab Budiey memang minat dengar lagu cintan cintun dari mereka tu. Asyik banget.
De’Meises merupakan sebuah kumpulan yang berasal dari Cianjur, Indonesia yang dianggotai oleh 4 orang anak muda seperti Iman Lukman Asikin (Iman, vokal), Messias Mochammad Mahdi (Messi, Gitar), Neno Juliama (Neno, Bass), dan Moch. Riza Lesdiana Mulyana (Riza, Drum).
Perkataan “De” merupakan perkataan yang diadaptasikan dari Bahasa Inggeris iaitu “The” dan “Meises” pula merupakan butiran coklat yang disukai oleh semua orang. Dengan filosofi tersebut, maka lahirlah nama De’Meises dan mereka juga ingin menjadi sebuah band yang disukai dan digilai oleh semua orang.
Nama baru dalam industri muzik di Malaysia yang berasal dari tanah seberang Indonesia ini juga telah tampil dengan single mereka yang bertajuk ‘Dengarlah Bintang Hatiku’ yang juga merupakan lagu tema bagi sebuah drama di Malaysia iaitu “Ijab dan Qabul”. Ketepatan pemilihan lagu ini sebagai lagu tema telah memberi impak yang besar terhadap lagu tersebut, ini kerana lagu ‘Dengarlah Bintang Hatiku’ seakan-akan menepati jalan penceritaan drama “Ijab dan Qabul”.
Di dalam sesebuah lagu amat bermakna jika lagu tersebut memberi seribu satu kesan yang mendalam dan ini yang ditampilkan di dalam single tersebut. De’Meises juga ingin menonjolkan keistimewaan bagi kumpulan mereka dari sudut pembawakan lagu dan penghasilan lirik. Ini terbukti di mana lagu ‘Dengarlah Bintang Hatiku’ menceritakan tentang perhubungan cinta yang amat bermakna di mana ia menceritakan tentang harapan seorang kekasih untuk terus mempertahankan dan menjaga perasaan cintanya, walaupun pasangannya tidak sempurna. Lirik puitis dan romantis serta susunan muzik berentak pop ballad ini menjadi pemikat utama kumpulan De’Meises.
Semoga dengan hadirnya kumpulan De’Meises dalam muzik nusantara, mereka akan terus berkembang pesat di Indonesia dan juga Malaysia.