TV2 KONGSI KISAH 4 DARA BERDEPAN PANCAROBA TINGGAL DI IBUKOTA
Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran Dunia Ria, TV2 bakal menyiarkan drama bersiri Cubit-Cubit Sayang mulai 14 Disember 2009, setiap Isnin, jam 12.00 malam di TV2 yang berkongsi kisah kehidupan wanita berasal dari kampung dan tinggal bersama kawan-kawan terpaksa menempuh berbagai pancaroba. Keempat-empat mereka tinggal serumah walaupun berasal dari negeri yang berbeza. Tetapi sikap tolong-menolong dan saling memahami antara satu sama lain membuatkan kesemua mereka bahagia hidup bersama demi mengejar cita-cita masing-masing sebagai insan yang berjaya di ibu kota.
Dijayakan watak utamanya oleh empat dramatis Nadia Mustafa, Leez Rosly, Nisha Dirr, Farah Alya dan dibantu Fathil Dani, Roslan Salleh dan Roy Azman, drama terbitan Wayang Tinggi Produksi Sdn Bhd ini sepanjang 20 episod siarannya mengetengahkan watak Salmah yang seperti juga wanita lain tinggal di bandaraya Kuala Lumpur, ingin bergaya dan dipandang mulia oleh masyarakat. Tetapi dengan hanya berkelulusan Sijil Rendah Pelajaran dan dari keluarga susah di kampung membuatkan Salmah terpaksa menyamar sebagai pekerja pejabat berjawatan tinggi. Pada hal Salmah hanyalah bekerja sebagai pembancuh minuman di sebuah bangunan pejabat.
Penyamaran Salmah itu tidak diketahui oleh kawan serumahnya Juhara bekerja sebagai pembantu chef di sebuah hotel di ibukota. Intan pula sedang berusaha menjadi seorang pelakon drama TV/filem terkenal. Manakala Azura pula yang paling muda di kalangan mereka bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta.
Dalam kehidupan seharian keempat-empat wanita bersemangat waja terpaksa menempuh berbagai dugaan hidup. Terutama dalam soal teman lelaki dan percintaan masing-masing. Di tempat kerja sudah jadi kebiasaan pembancuh minuman seperti Salmah akan diminati pengawal keselamatan, Yatim yang sudah beristeri dan mempunyai beberapa orang anak. Sikap Yatim yang selalu menggoda Salmah di tempat kerja menyebabkan Salmah menjadi bahan gosip dan fitnah di kalangan pekerja tea-lady yang cemburu dengan Salmah yang sama kerja sebagai pembancuh minuman tapi pandai bergaya.
Begitu juga dengan Intan yang sering berdepan dengan masalah penerbit drama miang yang bukan hanya mahu mengambil dia berlakon tapi mahu menjalin hubungan cinta. Tetapi Intan tetap dengan satu impiannya hendak menjadi pelakon terkenal tanpa menggadai maruah dirinya. Sehinggalah dia tertipu dengan gelagat seorang jurugambar menyamar yang membawa dia ke sesi fotografi sebuah desa terpencil dan kemudian mahu memperkosanya. Dalam situasi itu Intan berjaya menyelamatkan diri tapi dia terpaksa hidup melara di pekan kecil dalam keadaan tidak terurus dan dianggap sakit gila ‘meroyan’. Kejadian itu menyedarkan Intan yang selama ini sering menghina peminta sedekah dan kini pula berada dalam keadaan itu. Tapi dia sempat diselamatkan oleh seorang imam muda yang akhirnya pertemukan Intan dengan kawan-kawan yang datang mencarinya. Sejak kejadian itu Intan mula berubah.
Nasib Intan telah berubah, beliau kerap menjadi tetamu jemputan dalam program TV berbentuk Talk-Show di mana menceritakan tragedi yang menimpa dirinya. Sejak itu dia menerima banyak tawaran berlakon dan meletakkan dia sebaris dengan pelakon terkenal yang lain.
Azura pula seperti biasa bekerja di hospital sebagai jururawat dan akan bertemu dengan pesakit dan doktor. Tanpa Azura sedar dia telah berkenalan dengan seorang pesakit mental yang terlepas lari dari wad dan menyamar sebagai doktor. Sejak berkawan dengan doktor mental itu Azura telah dilamun cinta tanpa menyedari bahawa lelaki itu pesakit mental yang menyamar sehinggalah Azura berkenalan dengan seorang pesakit remaja yang menimbulkan cemburu doktor mental yang tiba-tiba mengamuk di gerai menyebabkan identiti sebenarnya terbongkar dan kecewakan Azura.
Untuk mengetahui kesudahan drama bersiri mencuit hati ini, usah lupa janji temu anda meluangkan masa menyaksikan Cubit-Cubit Sayang disiarkan mulai 14 Disember 2009, setiap Isnin, jam 12.00 malam di TV2.