Bekas anggota kumpulan Exist, Mohd Ali Kamarudin atau lebih glamour dengan nama Mamat Exist yang ditahan atas dakwaan mencuri telefon bimbit seorang pelakon tempatan pada Jumaat minggu lalu, dibebaskan dengan ikat jaminan malam kelmarin.
Mamat dipercayai diikat jamin oleh bapa saudaranya yang menetap di sini sekitar jam 8 malam di Balai Polis Bedok. Polis mengesahkan penyanyi yang terkenal lagu Oh Ibu sudah bebas tetapi siasatan masih dijalankan. Penyanyi itu ditahan selepas Suhailmi Ruslan atau juga dikenali sebagai Amy Kecik membuat laporan mendakwa Mamat mencuri telefon jenama Samsung berharga S$280 (RM685.11) dari rumah beliau pada pagi Jumaat minggu lalu.
Amy Kecik ketika dihubungi mahu menarik balik dakwaan terhadap rakannya itu atas alasan beliau kasihan tiga anak Mamat masih kecil. Bagaimanapun, katanya, langkah menarik balik dakwaan itu tidak dibenarkan polis dan Mamat kini berada di rumah ibu saudara teman wanitanya di Bedok Reservoir.
Berita Harian difahamkan teman wanitanya itu seorang warga Singapura berusia 16 tahun. Ketika ditemui Berita Harian di Bedok Reservoir semalam dan diminta mengulas mengenai kes curi itu, Mamat berkata beliau bukan orang yang bersalah, tetapi orang yang dituduh.
Mamat berkata, beliau tidak mahu memberi butir lanjut mengenai kes itu kerana sudah dinasihati polis supaya tidak melakukan demikian kerana masih dalam siasatan. Dia turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Suhailmi dalam laporan Berita Harian kelmarin.
“Namanya kawan, tetapi dia sudah menjatuhkan nama saya dengan memberikan kenyataan seperti itu kepada Berita Harian. Saya tak kisahlah jika dia mahu memberikan kenyataan itu untuk menaikkan namanya sendiri, untuk memberi publisiti murahan kepada diri sendiri. Saya sudah tak nak dengar nama si Suhailmi itu lagi, ” katanya.
Mamat berkata, dia masih dalam keadaan trauma kerana ditahan di balai polis di sini. [sumber]