Pelakon Fizz Fairuz mengakui sejak isterinya Almy Nadia disahkan hamil dia tiba-tiba bertukar sifat menjadi seorang yang panas baran dan sensitif terhadap perkara-perkara yang berlaku disekelilingnya. Almy hamil lima minggu.
Fizz, 35, berkata, dia tidak pasti sekiranya perubahan emosi itu sebagai satu simptom ‘pembawakan budak’ namun bimbang akan ada pihak terasa hati dengan sikapnya itu yang sukar dikawal sejak akhir-akhir ini.
“Sejak Almy mengandung saya menjadi seorang yang sensitif dan panas baran secara tiba-tiba dan adakalanya gagal mengawal sifat tersebut yang mungkin akan membuatkan pihak lain terasa hati dengan saya.
“Jika ini salah satu simptom ‘pembawakan budak’ yang terkena pada suami, saya harap ia tidak akan kekal lama,”
– Fizz Fairuz
Fizz Fairuz mengakui cepat melenting sejak akhir-akhir ini.
Fizz ditemui selepas majlis tayangan perdana filem Mat Tudung di Wangsa Walk, Wangsa Maju di pada Rabu.
Selain Fizz, filem arahan Wan Hafiz itu turut menampilkan Izzue Islam, Nelydia Senrose, Harun Salim Bachik, Rosnah Mat Aris dan Jihan Musa.
Ia bakal ditayangkan bermula 28 Julai ini.
Dalam pada itu, Fizz enggan melayan kata-kata fitnah yang mempertikaikan tentang kehamilan dan usia kandungan isterinya dan mengambil pendekatan berdiam diri terhadap tohmahan sesetengah pihak.
Jelas Fizz, dia tidak mahu Almy tertekan dengan cerita-cerita buruk yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang akan memberi kesan kepada kandungan itu nanti.
“Pihak yang mempertikaikan tentang kehamilan Almy mungkin patut semak kembali bila kami bernikah dan bukan terus membuat tuduhan tidak berasas seperti ini.
“Saya sering pesan dengan Almy jika ada orang cerita yang bukan-bukan jangan layan kerana ia akan merebak menjadi besar. Lebih baik diam dan senyum sahaja,”
– Fizz Fairuz
Sementara itu, Almy yang sedang hamil lima minggu mengakui perubahan sikap suaminya itu dan mengambil pendekatan sentiasa bersabar bagi mengelakkan masalah lain.
Jelas Almy, dia tidak terasa hati sekiranya Fizz ada melepaskan kemarahan kepadanya kerana dia tahu ia bukan disengajakan selain berharap fasa tersebut tidak berpanjangan.
“Mula-mula geram jugak tetapi ibu dan ibu mertua saya sering berpesan supaya bersabar kerana perubahan itu hanyalah sementara dan sekarang ini jika dia marah-marah saya akan diam sahaja.
“Sejak saya mengandung, Fizz juga mengidam pelbagai makanan dan ada sekali dia ingin makan telur itik lemak cili api untuk sahur selain beberapa makanan pelik lain,” ujarnya.
– Almy Nadia