Afiq Muiz Tarik Golongan Muda Dekati Masjid Dalam Drama “Cinta Itu Kerja Allah” di TV2.
Setiap seorang daripada umat Islam dianggap sebagai khalifah di muka bumi dan tanggungjawab tergalas di bahu setiap seorang itu dalam menyebarkan syiar Islam kepada orang lain tanpa mengira bangsa dan usia.
Namun sesetengah golongan remaja menganggap tanggungjawab tersebut selayaknya dipikul golongan lebih berusia yang dianggap lebih matang dan berilmu daripada mereka. Sedangkan hakikatnya jika jihad itu disampaikan oleh mereka menerusi besarnya pengaruh teman seusia, ianya lebih terkesan di hati yang menerima.
Cuba mengangkat isu tersebut, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menjanjikan tayangan drama terbaik penuh maksud tersirat dan tersurat membawakan drama bertajuk “Cinta Itu Kerja Allah” yang menemui penonton pada 15 Julai ini, pukul 10.00 malam mengisi slot Citra di TV2.
Mengetengahkan pelakon utama Afiq Muiz, Ramona Zamzam dan Fimie Don, ia membawa penonton mengikuti kisah watak utama Johar, pelajar lulusan sebuah universiti Timur Tengah kembali ke kampungnya dan dilantik sebagai tenaga pengajar khusus bagi menarik golongan muda mendekati masjid. Johar mengambil pendekatan berdakwah dengan cara mendekati dan terlibat dengan aktiviti golongan muda di kampungnya. Dia tidak semata-mata berceramah dan mengajar agama sebaliknya turun padang bermain bola dan mengikuti setiap aktiviti golongan muda.
Atas persetujuan kedua belah pihak Johar di tunangkan dengan Fadilah, seorang guru KAFA di kampungnya. Pertunangan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati Samat yang telah dua kali lamarannya di tolak oleh Fadilah dan keluarganya.
Sutinah seorang remaja yang bermasalah. Dia baru sahaja keluar dari Pusat Serenti dan berazam untuk mendalami agama bagi membuang tabiat buruknya selama ini. Ketika mengikuti kelas Fardu Ain, Sutinah pengsan dan dia dibantu oleh Johar. Kesempatan ini melalui rakaman gambar ketika kejadian, Samat menyebar fitnah yang Johar berkelakuan sumbang dengan Sutinah.
Pertunangan Johar dengan Fadilah putus dan jawatan Johar di masjid hilang akibat fitnah. Fadilah menuduh Sutinah khianat padanya manakala Sutinah berusaha untuk membuktikan bahawa gambar yang disebar oleh Samat sudah melalui teknik superimpose.
Johar bertindak membawa semula Samat ke zaman kanak-kanak dan alam persekolahan mereka berempat. Sebenarnya mereka berempat adalah sahabat baik dan cuma Johar sahaja yang berpeluang melanjut pelajaran ke luar negara.
Kembali ke zaman persekolahan telah menginsafkan Samat betapa mereka adalah sahabat yang baik. Samat berazam untuk membersihkan nama Johar tetapi dia kemalangan dan doktor mengesahkan ada kesan pada otaknya.
Ketika itu tidak siapa yang percaya apa yang diceritakan oleh Samat manakala Sutinah terus berusaha dengan bantuan rakan bagi membuktikan gambar tersebut sebenarnya superimpose. Meskipun di tuduh orang kampung sebagai kurang siuman, Samat terus berusaha membuktikan apa yang dilakukannya ke atas Johar sebelum ini adalah fitnah dan dendam.
Fazilah juga menyesal dan ingin kembali kepada Johar. Namun Johar telah membuat keputusan untuk sambung belajar dan keluar dari kampung tersebut dengan memilih Sutinah sebagai isterinya. Samat meninggal akibat kemalangan.