Selain merupakan drama polis bersiri Cina tempatan pertama terbitan ntv7, ON THE BRINK juga diharapkan bakal memberi impak mendalam menerusi penulisan skripnya yang tuntas hasil nukilan penerbit yang juga penulis dan pengarah dari Hong Kong, Gary Tang. Gary Tang sebelum ini memang dikenali dengan hasil kerja skripnya yang mantap dalam filem-filem berlatarkan penyiasatan dan jenayah yang juga pernah memenangi anugerah Hong Kong Film Critics Society Award.
Drama bersiri 30 episod itu juga merupakan drama mega khas bersempena ulang tahun ke-16 ntv7 yang bakal disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 9.30 malam di ntv7 (Saluran 107) mulai 3 Julai 2014.
Antara barisan pelakon yang membintangi siri itu adalah Jojo Goh, Adrian Tan, Henley Hii, Jan Chin, Jeffrey Cheng, Emily Lim dan Berg Lee yang pastinya bakal membawa watak mereka dengan berkesan dalam siri penuh aksi ini.
ntv7 juga mengumpulkan barisan pelakon utamanya menerusi lagu tema On The Brink berjudul “Ren Zhi Chu (Beginning)” hasil komposer Guan Qi Yuan nyanyian – Jojo Goh, Adrian Tan dan Henley Hii – yang bakal menunjukkan para peminat kebolehan vokal mereka.
Latar drama bersiri ON THE BRINK sarat dengan jenayah berat dan dikembangkan menerusi beberapa kes jenayah luar biasa serta kehidupan para penyiasat jenayah yang menerajui drama ini.
Memegang watak penyiasat yang cergas dan bijaksana adalah Jojo Goh yang membawa watak inspektor Li Li Wen. Li Li Wen juga digambarkan sebagai seorang yang tajam mindanya dan berkeupayaan menyelesaikan masalah dalam kes jenayah yang sukar. Namun perwatakan Li Li Wen juga diselitkan kekurangan dalam menangani masalah cinta.
Li Wen mengetuai pasukan penyiasat termasuklah jejaka muda yang pintar bernama Liu Shi Yang lakonan Adrian Tan yang sebelum ini membintangi siri popular, The Undercover di ntv7. Liu Shi Yang yang mempunyai pelbagai kebolehan sebagai seorang anggota penyiasat menaruh minat kepada Li Wen. Malah kali ini dia juga akan membawa watak seorang ayah apabila mengambil anak rakan setugasnya yang kemalangan sebagai anak angkat. Adrian juga merupakan salah seorang Top 5 bagi Golden Awards 2014 yang bertanding bagi anugerah Pelakon Terbaik tahun ini.
Memainkan watak rakan setugasnya adalah jejaka ‘macho’ dan tangkas, Zhang Ke, lakonan Henley Hii. Watak Zhang Ke amat berbeza dengan Shi Yang. Zhang Ke menggunakan pendekatan berbeza dalam menghadapai sesebuah kes. Dia lebih baran dan berani melanggar peraturan kerana percaya dengan nalurinya. Antara yang menarik ialah apabila kedua-dua rakan setugas ini bakal terlibat dengan babak pertarungan yang mendebarkan.
Drama bersiri ini juga bakal menggandingkan Henley Hii bersama pelakon yang semakin meningkat naik, Karena Teo yang tersenarai dalam Pelakon pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Baru Terbaik dalam Golden Awards 2014 yang akan berlangsung pada 20 September ini.
Watak lain yang turut diperkenalkan di dalam drama ini adalah penyiasat forensik Mo Ai Fei lakonan Jan Chin yang memerlukan dia membedah siasat mayat untuk menyelesaikan sesuatu kes. Mo Ai Fei yang sering bersama Shi Yang untuk menyelesaikan beberapa kes turut jatuh cinta kepada jejaka itu. Jan juga merupakan salah seorang calon Top 5 Golden Awards 2014 bagi kategori Pengacara Rancangan Majalah Terbaik.
Kisah cinta Ai Fei yang rumit juga bakal melibatkan peguam tampan, Hao Ze Feng (lakonan Jeffrey Cheng). Ze Feng mempunyai masa silam yang membuatkan dia berkelakuan kejam dan menjadi peguam yang bercabang lidah. Namun dia juga bakal menghadapi kisah cinta tiga segi bersama Ai Fei dan Li Wen yang pernah ditemuinya ketika di universiti. Walaupun Li Wen selalu diingatkan pasukannya mengenai latar belakang Ze Feng namun Li Wen tetap mempercayainya.
Sementara itu, di bawah pimpinan Li Wen beberpa kes kompleks dan berprofil tinggi berjaya diselesaikan seperti pembunuhan bersiri, kes bunuh ngeri, penculikan dan banyak lagi.
Setiap kes pada mulanya dilihat sebagai kes individu namun apabila plot dikembangkan setiap kes mempunyai hubungan di antara satu sama lain yang bakal membuatkan para penonton tertanya-tanya apakah sebenarnya yang terjadi. Apatah lagi plot turut merungkai kisah peribadi setiap watak dan sisi menarik mereka.
“ntv7 amat teruja membawakan drama bersiri terbaru ini kepada para penonton bagi meraikan ulang tahun ke-16 stesen kami. ON THE BRINK pastinya merupakan salah satu karya di mana kami telah meletakkan harapan dan usaha yang tinggi dalam siri ini. Kami juga begitu gembira kerana dapat bekerjasama dengan penulis skrip antarabangsa yang mempunyai pengalaman dalam produksi yang besar. Malah ini juga merupakan siri penyiasatan polis pertama terbitan ntv7 yang dibarisi para pelakon hebat di dalam industri hiburan Cina Malaysia,” kata Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Airin Zainul.
“Kami juga ingin mendedikasikan ucapan terima kasih kepada Thomson Livrin kerana menyokong drama tempatan kami serta one FM selaku rakan media kami, tambah Airin.”
Jangan lupa menyaksikan ON THE BRINK setiap hari Isnin hingga Khamis jam 9.30 malam hanya di ntv7 (Saluran 107) bermula 3 Julai.
ntv7 juga boleh ditonton di Saluran 107. Rancangan kegemaran anda juga boleh dilihat semula di www.tonton.com.my serta ikuti perkembangan terbaru kami menerusi media sosial:
Facebook (Urban – ntv7 │Chinese – ntv7 中文)
Twitter (@ntv7)
Instagram (Urban @ntv7 │Chinese – @ntv7chinese)
Hashtag us at #ntv7 and follow our latest daily updates