SOSEH SOSEH: Peserta nasyid makan hati
DUNIA ini dah akhir zaman agaknya. Mereka yang melakukan kemungkaran dihormati dan disanjung tinggi. Manakala yang mengajak ke jalan kebaikan langsung tidak diendahkan malah ada yang dihina dan dikeji. Itulah lumrah hidup hari ini.
Kadang-kadang sambil memandu pulang terutama pada senjakala, SS teringin mendengar lagu nasyid. Apabila uban mula tumbuh subur di kepala, maka berazamlah diri untuk mendidik jiwa ke jalan diredai Allah.
Tak sempat mendengar ceramah di masjid, dapat mendengar lagu nasyid pun boleh mendatangkan keinsafan apatah lagi mendengar lagu Selimut Putih dan Sepohon Kayu. Aduh! Seram bulu roma SS, tetapi itu kalau ada lagu nasyid yang disiarkan ketika hendak azan sebelum solat. Lepas itu jangan haraplah dapat dengar lagi lagu nasyid.
Baru-baru ini SS dapat tahu ada pihak menganjurkan dua pertandingan nasyid sekali gus pada satu tempat dan waktu sama iaitu Festival Nasyid Kebangsaan (FNK) dan Nasyid Minggu Ini (NMI). Penonton pun keliru yang mana satu peserta FNK dan NMI kerana mereka membuat persembahan berselang-seli.
Sudahlah begitu, peserta FNK mendapat layanan kelas pertama. Mereka disediakan tempat khas manakala peserta NMI terpaksa berkeliaran mencari kerusi sendiri. Hadiah untuk pemenang FNK juga lumayan apabila juara dapat RM10,000 dan pemenang sagu hati pula RM5,000. Sementara pemenang NMI cuma dapat plak plastik.
Manusia sekarang semakin tidak adil. Menambahkan ketidakadilan itu, penganjur juga menyediakan sistem bunyi dan mikrofon berbeza untuk kedua-dua peserta pertandingan itu. Peserta FNK diberikan PA dan mikrofon gred A, tetapi peserta NMI diberi PA dan mikrofon yang layak disimpan dalam stor saja kerana bila menyanyi ada kala tak dengar suara.
Sudahlah begitu, penganjur juga tidak beritahu kumpulan nasyid mana yang akan membuat persembahan untuk NMI jadi semua ‘Top 10’ datang siap membawa pakaian dan peralatan muzik.
Apabila semua dah siap sedia, alih-alih penganjur beritahu lima kumpulan saja yang akan membuat persembahan. Lima kumpulan lagi berputih mata. Bukan saja sakit hati, tetapi rugi kerana sudah membuat persiapan rapi. Siapa nak ganti. Bukankah itu penganiayaan namanya?
Khabarnya penganjur sengaja mengadakan dua pertandingan serentak kerana hendakkan jumlah penonton yang ramai kerana berdasarkan pengalaman lalu, penonton kurang datang untuk menyaksikan FNK, tetapi adanya NMI, peminat akan turun beramai-ramai.
Dek geram, juara NMI tulis surat kepada penganjur kerana tidak puas hati dan dihina sampai begitu sekali. Penganjur mengakui kesilapan mereka dan sudah minta maaf. Tetapi nasi sudah jadi bubur, hati yang terluka sukar diubati lagi. Dengarnya ada yang ingin boikot apa saja yang bakal dianjurkan penganjur berkenaan pada masa depan. [sumber]