Pihak Astro membuat kejutan apabila tiga peserta iaitu Zain, Arip dan Ben diumumkan akan bertanding ke peringkat Mega Final, pertandingan Kilauan Emas musim keempat yang bakal diadakan pada 11 Jun depan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini.
Tiga peserta tersebut bakal bersaing untuk merebut gelaran juara Kilauan Emas musim keempat yang menyediakan hadiah berupa wang tunai RM100,000, sebuah kereta Toyota Camry beserta trofi.
Terdahulu pengacara Raja Azura pada malam Rabu turut mengumumkan pemenang tempat keempat iaitu Nordin Yusof yang membawa pulang wang tunai RM15,000, pakej percutian tajaan PNB Ilham Resort dan langganan majalah Midi beserta trofi.
Manakala, Mohammad Nasiruddin atau Nas Menduduki tempat kelima dengan meraih wang tunai RM10,000, pakej percutian tajaan PNB Ilham Resort, langganan majalah Midi dan trofi. Sementara itu Anugerah Cabaran 30 Hari Nestle Omega Plus dimenangi oleh Nordin. Dia menerima wang tunai RM15,000 dan trofi.
Manakala bagi kategori Peserta Teladan dimenangi oleh Raida yang membawa pulang hamper barangan Nestle.
Hadiah-hadiah berkenaan tidak termasuk hadiah iringin berupa wang tunai sumbangan Nestle.
Hadiah disampaikan oleh pengurus saluran Astro Prima, Namanzee Harris dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anuar Salleh.
Markah peserta diadili 70 peratus daripada penilaian juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Ziana Zain, Datuk Hattan dan Erra Fazira, manakala 30 peratus lagi berdasarkan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton.
Lima peserta akhir beraksi selepas lapan minggu bersaing dengan 13 peserta lain untuk merebut ke tempat Mega Final Kilauan Emas 4 minggu hadapan.
Pada peringkat akhir ini menyaksikan para peserta diuji dengan tema yang lebih mencabar pada segmen pertama iaitu lagu bebas dan sebuah lagu baharu.
Program akhir itu turut menampilkan persembahan istimewa daripada Datuk Ramli Sarip, Firman, Farahwahida, Zamani (Slam), Ziana Zain, Nassier Wahab dan Rohana Jalil.
Sementara itu, konsert akhir yang berlangsung pada pukul 9.30 itu telah dicemari beberapa pergaduhan kecil di luar pintu utama apabila segelintir penonton yang hadir tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan.
Bagaimanapun, mereka yang gagal memasuki dewan itu terpaksa menonton konsert akhir di layar lebar yang disediakan pihak Astro di perkarangan dewan tersebut.
Kilauan Emas 4 disiarkan setiap hari Rabu bermula pukul 9.30 malam menerusi saluran Astro Prima (132) dan Mustika HD (134).