Pelakon Hairul Azreen mengakui pada awalnya tidak yakin mempunyai peminat sendiri sehingga dia didatangi seorang wanita yang meminta kelulusannya untuk menubuhkan sebuah kumpulan peminat yang diberi nama Kapten Hairul Skuad sejak setahun yang lalu.
Hairul, 26, berkata, sehingga kini lebih 100 orang peminat menanggotai kumpulan tersebut dan mereka sering menganjurkan aktiviti sukan dan percutian bersama-sama.
“Pada mulanya saya menolak kerana tidak yakin ada orang yang ingin sertai, lagi pula saya tidak ada masa untuk uruskan kelab itu nanti. Namun seorang wanita datang untuk meminta keizinan saya bagi menguruskan kelab tersebut, akhirnya saya bersetuju dan saya serahkan pada mereka untuk mengatur segala aktiviti-aktiviti yang ingin dijalankan.”
Tambah Hairul, kumpulan tersebut menjalankan beberapa aktiviti sukan lasak setiap kali dia mempunyai kelapangan daripada sebarang penggambaran. Sementara itu, dia juga mengakui kebanyakan ahli kumpulan tersebut adalah daripada kalangan wanita.
“Ada beberapa aktiviti yang sering dijalankan seperti aktiviti bermain paintball dan tahun lalu kami bercuti bersama ke Beijing dan kami bakal bercuti bersama di Pulau Tioman. Kebanyakan ahli adalah kalangan wanita dan saya tidak sangka mereka turut meminati sukan lasak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hairul baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Misiku Kuza musim ke-2.
Dia juga turut menyertai rombongan selebriti ke Barcelona dengan penerbangan Air France anjuran Rafflesia pada 23 Jun hingga 30 Jun 2014 bersama empat orang artis lain iaitu Tasha Shilla, Fizo Omar, Kamal Adli dan Miera Liyana.
Sumber: Mstar Online