‘LENTUR BULUH DARI REBUNG’
Program ‘Soccer Kids’ Lahirkan Pelapis Sukan Bolasepak
Dua tahun lalu ketika mula-mula diperkenalkan, program sukan mencungkil bakat kanak-kanak dalam bolasepak – Soccer Kids terbitan TV3 benar-benar mendapat perhatian umum. Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga turut memberi sokongan penuh dalam merealisasikan program ini.
Secara umumnya, menjadi tanggungjawab FAM untuk memartabatkan bolasepak tempatan justeru program Soccer Kids tampil tepat pada waktunya. TV3, FAM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyedari hakikat bahawa dengan program-program begini mampu menjadi pelopor kepada kejayaan bolasepak tempatan iaitu dengan pemfokusan terhadap akar umbi, kanak-kanak menjadi taruhan harapan.
Program Soccer Kids kini bersiap sedia menjalani penjelajahan sesi pemilihan pemain di pusat pemilihan seluruh negara bermula penghujung Oktober ini. Sebanyak empat lokasi pusat pemilihan telah di pilih oleh panel pemilihan yang akan diketuai sendiri oleh pengawai-pegawai dan jurulatih-jurulatih FAM terpilih iaitu ketua jurulatih, En. Ismail Ibrahim dibantu oleh Lim Chao Chin dan Asri Niggal.
Peserta berumur antara 10 hingga 12 tahun yang terpilih akan menjalani latihan insentif dan saringan akhir bagi melayakkan mereka menyarung jersi Soccer Kids dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan bawah 12 tahun luar negara.
Ketika ditemui, Pengurus Projek Soccer Kids, Feisal Malik berkata “Mungkin terlalu tinggi cita-cita ingin melihat program ini sebagai menaikkan taraf bolasepak negara. Itu adalah cita-cita. Kami disini hanya membantu dan mungkin program ini dapat menyumbang kepada pembentukkan kanak-kanak dalam sukan bolasepak. Itu yang paling penting,” katanya.
Program akar umbi dari peringkat kanak-kanak amat berkurangan dan amat mustahil bagi kanak-kanak ingin menonjolkan bakat yang ada. Ilham menjalankan satu projek bola sepak menjadi satu idea bernas,” ujarnya
Kami di TV3, ingin jadikan ilham itu sebagai satu kenyataan lalu terbitlah program ‘Soccer Kids’ ini. Dalam masa yang sama ianya sebagai satu langkah membantu FAM dalam melatih pemain-pemain muda berkaliber Malaysia untuk tanggungjawab lebih besar perlu digalas,” ujar Feisal lagi
Melalui sesi pemilihan ini, pemain-pemain akan didedahkan dengan aspek bola sepak; kemahiran asas, keupayaan tahap kecergasan, kemahiran individu, koordinasi, dan situasi permainan.
Setelah menjalani latihan pusat ini, pemilihan pemain akan disaring sehingga kepada 16 orang pemain sahaja bagi menentang pasukan kelab antarabangsa bawah 12 tahun. Berikut adalah senarai lokasi pemilihan yang akan di adakan:-
24 & 25 Oktober 2009
Dataran Johor Bahru – (8.00pagi-4.00ptg)
31 Oktober & 1 November 2009
Padang USM Pulau Pinang – (8.00pagi-4.00ptg)
7 & 8 November 2009
Padang MPK1, Kuantan – (8.00pagi-4.00ptg)
14 & 15 November 2009
Kompleks Sukan Kampung Pandan – (8.00pagi-4.00ptg)
Bagi yang berminat pastikan anda menghadiri sesi pemilihan dengan pakaian sukan yang lengkap dan ditemani oleh ibubapa atau wakil penjaga yang sah. Pendaftaran untuk sesi pemilihan akan dibuka dari pukul 8.00 pagi dan ditutup pada 4.00 petang untuk memberi ruang dan masa agar proses pemilihan pemain dapat dijalankan dengan efektif. Bagi ibubapa dan keluarga pula, kunjungilah Karnival Sukan Keluarga anjuran KBS di mana pelbagai aktiviti dan gerai jualan serta pameran boleh dikunjungi.
Kepada semua kanak-kanak yang berbakat dalam bola sepak, ini adalah landasan bagi anda untuk menyerlahkan bakat yang ada. Jangan lepaskan peluang menyertai sesi pemilihan ini di lokasi berhampiran anda. Semoga berjaya!