AirAsia Allstars (kakitangan) daripada pelbagai jabatan bergabung tenaga untuk membantu para tetamu di lapangan terbang yang baru dilancarkan itu.
Usaha yang diterajui oleh Jabatan People Department (Sumber Manusia) itu merangkumi sukarelawan yang dibahagikan kepada empat syif bermula seawal pukul 5 pagi dan berakhir pada 12 tengah malam setiap hari, termasuk hujung minggu.
“Sukarelawan AirAsia adalah satu pasukan yang berdedikasi dimana misinya adalah untuk menyediakan bantuan kepada para tetamu di lapangan terbang KLIA2. Sejak tiga hari lalu, sukarelawan kami berkhidmat sebagai sumber maklumat lengkap untuk membantu para penumpang untuk mencari lokasi pintu, semak status penerbangan, tuntutan bagasi, informasi pengangkutan awam serta pertanyaan umum.”
– Adzhar Ibrahim , Ketua Jabatan Sumber Manusia AirAsia
Pasukan sukarelawan AirAsia yang mudah sekali dikenalpasti dengan kemeja-T merah boleh ditemui di seluruh pelosok lapangan terbang KLIA2 dan juga pusat membeli-belah Gateway.
Seorang sukarelawan, Yvonne Lady Diana A/K John Brian Anthony dari Jabatan Budaya Korporat syarikat penerbangan itu berkata, “Majoriti tetamu tidak tahu ke mana hendak pergi dan agak keliru dengan papan tanda yang disediakan. Adalah tugas kami sebagai sukarelawan untuk memastikan bahawa mereka pergi ke tempat yang betul.”
Seorang lagi sukarelawan, pekerja AirAsia dari jabatan Pra-Penerbangan, Elizabeth Soon Sze Chin berkata,
“Diantara nasihat yang biasa diberikan kepada tetamu ialah untuk sampai ke pintu berlepas masing-masing tepat pada masa, kerana ada setengah tetamu yang leka dengan pelbagai tempat membeli-belah boleh didapati di sini di KLIA2. Masa yang diperlukan untuk bergerak dari satu tempat ke balai berlepas agak lama jika dibandingkan dengan LCCT dan para tetamu perlu merancang masa mereka dengan betul.”
Sukarelawan terdiri daripada kakitangan korporat AirAsia, yang rela menawarkan perkhidmatan mereka untuk membantu kakitangan operasi yang bekerja di lapangan terbang baru. Matlamat utama pasukan ini adalah untuk memastikan kelancaran operasi dan pergerakan penumpang.
Apabila Jabatan sumber manusia syarikat penerbangan itu membuka pendaftaran untuk sukarelawan, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kakitangan AirAsia dari seluruh Malaysia, Thailand dan Indonesia. Bilangan permintaan sukarelawan melebihi jumlah sebenar yang diperlukan oleh syarikat penerbangan itu.
Kesediaan mereka untuk membantu rakan kerja mencerminkan semangat setia kawan yang tinggi dan nilai-nilai keluarga yang diterapkan oleh pengurusan AirAsia.
Menjadi sukarela merupakan satu pengalaman yang baik untuk kakitangan AirAsia. Salah seorang daripada mereka, Chua Cher Lin berkata, “Kami teruja untuk menjadi sukarelawan kerana ia memberi peluang untuk kami berinteraksi dengan tetamu kami.”
Program sukarela AirAsia akan diteruskan selama satu bulan bagi memastikan kelancaran operasi di KLIA2.