in

Radio HOT FM Kini Radio Nombor Satu Malaysia Keseluruhan

Budiey ingin mengucapkan TAHNIAH kepada radio HOT FM kerana telah berjaya mendapat gelaran RADIO NOMBOR SATU NEGARA SECARA KESELURUHAN.

Menurut kajian terbaru AC Nielsen, Hot FM terus meningkatkan pengaruh serta populariti mereka sekaligus meletakkan stesen hangat itu sebagai radio nombor satu Malaysia, yang terkini. Manakala dua stesen radio yang turut bernaung dibawah payung Media Prima Berhad, Fly FM berjaya mengekalkan kedudukan mereka di tangga kedua bagi pasaran Inggeris dan One FM pula menunjukkan peningkatan yang cukup memberangsangkan iaitu sebanyak 86%.

Di awal kemunculan Rangkaian Radio Media Prima (MPRN) sekitar 2006, industri radio tempatan hanya dimonopoli oleh beberapa rangkaian radio sahaja dimana kesetiaan pendengar diikat kuat oleh rangkaian berkenaan. Namun begitu pelancaran Hot FM telah berjaya mengubah persepsi serta status pendengar Malaysia secara dramatik seterusnya memberikan persaingan sihat yang segar antara stesen-stesen radio yang sedia ada.

Dalam masa yang cukup singkat, Hot FM menerusi kreativiti, inovasi serta sinergi  platfom yang menyeluruh telah berjaya memecahkan dominasi tersebut malah terus berkembang dan berjaya menempatkan nama Hot FM sebagai radio nombor satu negara dengan hampir 4 juta pendengar. Turut mengekalkan posisi dengan selesa adalah segmen pagi, Hot FM AM Krew dan kajian kali ini juga memperlihatkan bahawa segmen Hot FM Jam yang diterajui oleh AG dan Kieran atau lebih dikenali dengan gelaran “Jawa Rangers” menjadi pilihan utama pendengar Hot FM di sebelah petang dan secara tidak langsung menjadi salah satu faktor dalam peningkatan kedudukan stesen tersebut. Hot FM juga terus mempengaruhi sasaran kumpulan berpendapatan tinggi, golongan profesional serta pelajar sebagai radio paling hangat. Hot FM merupakan pilihan nombor satu bagi pasaran bandaraya utama.

Edisi terbaharu MPRN, One FM juga merekodkan kenaikan mendadak sebanyak 86% dalam kajian kali ini. Peningkatan ini jelas menjadikan One FM sebagai radio berbahasa Cina paling tinggi kenaikan jumlah pendengar. Ternyata idea segar telah menyuntik para pendengar di lingkungan bawah 35 tahun dimana 60% pendengar One FM terdiri daripada lingkungan tersebut. Peningkatan One FM dapat dilihat untuk semua segmen stesen tersebut dengan lebih daripada 500,000 ribu pendengar dengan komposisi 70% terdiri daripada pelajar serta pekerja kolar putih dan golongan profesional. One FM Morning Kaki (6pagi – 10pagi) dan One FM Happy Hour (4petang – 8petang) menunjukkan peningkatan paling ketara. Setiap segmen tersebut mencatatkan kenaikan sebanyak 125% dan 72%. Sama seperti dua stesen radio yang lainnya, One FM juga mempunyai kekuatan pendengar di kawasan Lembah Kelang.

Buat kali kedua secara berturut-turut, Fly FM mengekalkan tempat mereka sebagai radio berbahasa Inggeris kedua negara. Jelas 2009 menjadi tahun cemerlang Fly FM, setiap segmen stesen tersebut mengekalkan jumlah pendengar yang tinggi untuk lingkungan umur 18-30 tahun. Dengan hampir 750,000 pendengar, Fly FM mempunyai profil urban yang paling tinggi dengan peratusan hampir 90% dari keseluruhan. Segmen pagi stesen tersebut, The Fly FM Pagi Show (6 pagi – 10 pagi) telah menjadi segment pagi nombor 1 bagi pasaran bahasa Inggeris terutamanya bagi bandaraya seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Ipoh, manakala segmen Fly FM Must Have Music dan Fly FM Music I Like yang bersiaran dari jam 10 pagi hingga 4 petang pula lebih cenderung untuk sasaran yang lebih matang. Segmen-segmen tersebut juga turut menjadi segmen nombor satu bagi lingkungan umur atas 30 tahun.

“Kami di MPRN sememangnya bersyukur dengan keputusan kajian terbaharu ini” ujar Seelan Paul, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Radio Media Prima.

Kata beliau lagi,” Kami percaya segala perancangan teliti serta strategi yang dilaksanakan untuk generasi Y iaitu sasaran pendengar kami memacu kami menerima kejayaan ini dalam industri radio. Untuk menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi yang sememangnya aktif dari segi sosial serta teknologi, bukan sahaja pengisian program yang mantap diperlukan, bahkan kami turut menitikberatkan “personal touch” yang lebih mesra seperti acara “on ground”, melalui telekomunikasi serta secara maya. Bagi saya kejayaan ini lebih makna untuk semua tenaga kerja yang selama ini mendukung Hot FM. Merekalah nadi stesen dan sungguh saya katakan, mereka berhak untuk menerima kejayaan seumpama ini.”

“Pendengar juga turut memainkan peranan yang cukup besar untuk Hot FM menjadi paling hangat masa kini. Terima kasih kepada anda yang menjadikan kami No: 1 dalam hidup anda dan Hot FM berjanji akan terus menjanakan hanya yang terbaik untuk anda semua” tambah beliau.

Rangkaian Radio Media Prima (MPRN) sememangnya sinonim dan agresif dalam menjalankan pelbagai aktiviti serta acara “on ground” juga turut aktif mengambil bahagian dalam hal yang berkaitan dengan isu sosial dan masyarakat. Selepas Earth Hour, ketiga-tiga stesen tersebut akan bersatu untuk menjayakan sebuah tayangan amal yang bakal direalisasikan sekitar bulan Disember nanti. Tayangan amal yang juga merupakan hasil kolaborasi dengan UNICEF (The United Children;s Fund) dan WAO (Women Aid Organization), bermatlamat untuk menghiburkan kanak-kanak yang kurang bernasib baik sama ada istimewa, terbiar atau mangsa dera.

Hot FM pula kembali dengan konsert Hot FM Mini Jam, awal November kelak manakala Hot FM Nite Jam pula yang merupakan finale siri Jam 2009 akan diadakan pada bulan Disember nanti. Kali ini menumpukan mereka yang berada di luar kawasan Lembah Kelang, stesen tersebut akan menghangatkan para pendengar yang berada di Ipoh dan Muar, Johor.

Fly FM yang bakal menyambut ulangtahun ke empat akan meneruskan konsert Flyniversary mereka dengan meriah, seiring dengan kedudukan stesen tersebut. Konsert yang dijangka berlangsung di Avenue Park One Utama pada November 14 akan bermula pada jam 4petang.

Bagi One FM pula, usahasama dengan NTV7 akan menutup tirai mereka tahun ini. Bekerjasama dengan para personiliti NTV7, para penyampai One FM akan m uncul dengan album tahun baru, sempena Tahun Baru Cina yang bakal tiba.

Hot FM – Lebih Hangat daripada Biasa
Fly FM – Malaysia’s Hottest Music
One FM – You Are My No: 1

* Source : Nielsen Radio Audience Measurement, Survey 2,2009(03/08/09- 16/08/09)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Siti Nurhaliza Nyanyi di Rumah Terbuka Media Prima

Trivia: Yang Mana Satu Maya Karin – Nur Fazura