in ,

Ahmad Idham Buka Ahmad Idham Film Academy di Nusajaya

Industri perfileman merupakan satu industri yang bergerak maju dengan cukup pantas. Senarionya, industri perfileman seluruh dunia sekarang sedang berubah. Dari filem yang dihasilkan menggunakan filem, sekarang, hampir 80 peratus adalah dalam format digital.

Seiring dengan kemajuan teknologi perfileman, modal insan yang terlibat dalam industri ini juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi. Maka dengan itu, pengarah yang cukup dikenali, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, telah mengambil langkah proaktif, dengan menubuhkan sebuah akademi perfileman yang dikenali sebagai Ahmad Idham Film Academy, atau AIFA yang berpusat di Nusajaya, Wilayah Iskandar, Johor.

Budiey nak ucapkan tahniah buat Ahmad Idham atas kejayaan ini.

ahmad-idham

“Pekerja yang terlibat dalam bidang industri perfileman, merupakan satu aset yang cukup berharga. Mereka yang dibelakang tabir ini, merupakan tunjang, dalam penghasilan karya berkualiti, sekaligus mempertingkatkan tahap kualiti penghasilan sesebuah filem. AIFA merupakan satu inisiatif yang saya ambil, dalam membantu perkembangan industri perfileman tempatan, dengan menyediakan tenaga kerja berkemahiran dan mendapat pendidikan yang bersesuaian.”

Ditanya bagaimana tercetusnya idea penubuhan akademi perfileman AIFA, Ahmad Idham berkata:

“Cita-cita untuk membantu industri ini telah lama diimpikan, dan saya rasakan ianya merupakan satu tanggungjawab sebagai anak seni. Melalui Kementerian Sumber Manusia, dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berhasrat melahirkan 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2020, saya ingin menyahut seruan ini dengan penubuhan sebuah akademi. Dalam pada itu, pertemuan ringkas dengan Dato Dr. Phang Chaun Leong, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, sebuah jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang memberi sokongan kepada saya, telah menyemarakkan tekad dan semangat untuk merealisasikan impian menubuhkan AIFA.”

Bertempat di Nusajaya, Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor, AIFA rupanya mempunyai objektif kenapa diwujudkan di sana. Menurut pengasas AIFA, Ahmad Idham, ianya merupakan satu langkah yang cukup strategik.

“Kewujudan Pinewood Studios, telah mengubah lanskap dan strategi perkembangan industri perfileman tanahair. Pinewood memberi impak yang cukup besar. AIFA telah menjalin kerjasama dengan pihak Pinewood, dan merupakan batu loncatan kepada bakat baru bidang ini, untuk berkhidmat di Pinewood juga antarabangsa. Sebab itu, saya memilih Nusajaya sebagai lokasi akademi ini.”

“Dalam erti kata lain, Pinewood Studios membawa tenaga kerja berkemahiran tinggi dari luar, dan ianya merupakan satu medium pertukaran teknologi dan kemahiran, buat tenaga kerja tempatan, terutamanya di AIFA.”

Ahmad Idham mendapat sokongan dan kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA). Memulakan pengambilan pertama bermula 19 Mei ini, AIFA menawarkan kursus Produksi Filem/Video (Pengambaran), Sijil Kemahiran Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Pelajar yang mengikuti kursus ini akan diajar selok belok bidang perfileman yang lebih terperinci oleh tenaga pengajar cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing. Selesai mengikuti kursus ini, peluang pekerjaan terbuka luas dalam bidang perfileman tempatan mahupun antarabangsa.

“Kursus yang ditawarkan berkonsep vokasional dan praktikal. Ini memberikan setiap pelajar lebih peluang merasai dan mengalami keadaan dan persekitaran kerja sebenar. Ianya merupakan satu kelebihan, kerana setiap pelajar yang selesai mengikuti kursus ini, sudah mempunyai pengalaman, dan bukan sekadar teori. Industri memerlukan mereka yang berpengalaman.”

Peluang untuk mengikuti kursus Produksi Filem/Video (Pengambaran) di AIFA ini terbuka kepad semua warga negara berkelayakan dan berbakat. Ianya merupakan satu langkah yang tidak boleh dilepaskan kepada mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang perfileman.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, juga sebarang pertanyaan, boleh berbuat demikian dengan melayari www.facebook.com/aifamalaysia di twitter @AifaMalaysia.

Panel DFKL, Ahmad Idham

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Google AdWords Kini Dalam Bahasa Melayu

Gambar Menarik di Konsert Judika Mencari Cinta Live in KL