PAPARAN GEJALA KERUNTUHAN AKHLAK DI KALANGAN REMAJA MENERUSI XPRESI REMAJA MULAI 16 OKTOBER 2009 DI TV1
Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak. Namun kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja semakin berleluasa dan bertambah bilangannya.
Justeru pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan dan sebagai sebuah stesen penyiar kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya cuba mengupas isu ini sekaligus memberikan pengajaran berguna kepada mereka dengan menyiarkan majalah remaja yang dilakonkan semula dalam bentuk drama pendek, Xpresi Remaja mulai 16 Oktober, setiap Jumaat, jam 5.05 petang di TV1.
Tampil dengan 13 episod berbeza, penonton dibawa ke Rumah Bakawali, pusat pemulihan akhlak untuk menyelami dan berkongsi perasaan dengan remaja-remaja yang pernah terjebak dan berdepan gejala ini menerusi episod cinta terlampau, mat rempit, shuffle dan breakdance, dadah (syabu dan gam), ponteng, bohsia, homoseksual dan lesbian, rogol, penjajahan budaya, video lucah dan teknologi, gothic, black metal dan punk, peranan keluarga dan agama di mana pada setiap penghujung episod penonton dibekalkan dengan pengajaran yang dapat dijadikan teladan kepada remaja di luar sana.
Bermula dengan episod Cinta Terlampau, Xpresi Remaja memaparkan gejala lari dari rumah di kalangan anak gadis setelah jatuh cinta dengan lelaki seberang. Pastinya episod ini memberikan pengajaran berguna kepada anak-anak gadis supaya mementingkan keluarga dan pelajaran demi masa depan sebelum terburu-buru memilih mendirikan rumah tangga di usia muda.
Mat Rempit pula menampilkan kisah seorang mat rempit yang tidak pernah serik menyertai pertandingan lumba haram. Meskipun dihalang ibu dan adiknya daripada meneruskan aktiviti merbahaya itu, dia tetap dengan kesungguhannya untuk terus berlumba. Begitu pun penyesalan tidak berguna apabila nyawa ibu dan adiknya melayang di tangannya sendiri secara tidak sengaja. Diteruskan dengan episod Shuffle / Breakdance pula tampil dengan kisah dua kumpulan penari bebas diketuai Pali dan Mahdi. Meskipun bermula dengan suka-suka bersaing menari, tiba-tiba timbul perbalahan antara kedua kumpulan itu hingga mereka bergaduh besar.
Diteruskan dengan topik dadah melibatkan jenis syabu dan gam yang meskipun kedengaran klise namun ianya semakin berleluasa masa kini terutama di kalangan remaja yang inginkan keseronokan tanpa memikirkan masa depan yang kelam jika terjebak dalam kancah dadah itu.
Kalangan ibu bapa juga pastinya dapat mengutip pengajaran berguna menerusi isu gejala ponteng, bohsia, video lucah dan teknologi, gothic, black metal dan punk di kalangan pelajar- sekolah turut di ketengahkan menerusi drama lakonan semula sejam ini. Selain itu turut di ketengahkan isu-isu berkaitan homoseksual dan lesbian, kes-kes rogol yang berlaku juga mendapat perhatian untuk di ketengahkan.
Begitu pun penjajahan budaya, peranan keluarga dan agama yang turut diangkat sebagai topik program ini sewajarnya mampu memberikan pengajaran berguna kepada remaja, ibu bapa dan kalangan masyarakat secara keseluruhannya apatahlagi tanggungjawab membimbing remaja-remaja ini tidak seharusnya ditanggung sepenuhnya kepada pendidik di sekolah semata-mata.
Untuk mengikuti episod-episod yang hakikatnya berlaku dalam realiti kehidupan seharian kita berlaku di luar sana sekaligus mengutip pengajaran dan berguna, usah ketinggalan menyaksikan Xpresi Remaja mulai 16 Oktober, setiap Jumaat, jam 5.05 petang di TV1 terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd.