Sebenarnya tajuk entri di atas patut ditukar kepada Gambar Sekitar Pelancaran Album In Heart. Saje je nak kasi lain sikit. Google Search pasti suka dengan tajuk macam tu.
Okay, selamat tengahari semua. Malas sikit nak menulis hari ni. Tapi disebabkan terlalu banyak entri dan event yang perlu dicoretkan kepada pembaca semua, jadi, Budiey dengan rela hatinya melapangkan masa seketika sebelum ke event hari ni yang akan diadakan di Pavillion KL.
Pada 1 Oktober 2009 yang lalu, Budiey telah dijemput untuk menghadiri Majlis Sidang Akhbar dan Pelancaran Album Single – IN HEART berjudul Berturutnya Sebuah Perjuangan. Berlangsung di Bora Ombak, Ampang Sport Planet pada jam 3 petang hingga 5 petang, majlis ini dihadiri juga oleh beberapa orang selebriti ternama seperti Fazli Zainal, geng Infinatez, Imran Ajmain dan Fida.
Terus terang cakap, ini adalah kali pertama Budiey memijakkan kaki di Bora Ombak, Ampang Sport Planet. Oh, di sinilah tempat di mana berlangsungnya perkahwinan Que Haidar dan Linda Jasmine kan?
Berpeluh jugaklah, sebab terpaksa berjalan kaki dari Ampang Point. Jadi, selepas sampai, langsung terus meninggalkan nama dan tandatangani kehadiran, juga diberi satu plastik goodie bag berisi album single In Heart, press release dan majalah sumbangan dari penaja. Budiey difahamkan, majlis kali ini ditaja oleh dari IOI Palm Garden Hotel, IOI Resort Putrajaya, Berita Publishing Sdn Bhd, dan Sari Atitim serta make up oleh Saiful Hazmi.
Dalam keadaan masih bermandikan peluh, borak-borak dulu dengan pelantun lagu Seribu Tahun, Imran Ajmain. Takde nak buat apa, sementara nak tunggu majlis bermula, Budiey tarik Imran Ajmain untuk buat shooting kat luar yang memang agak tenang suasananya.
Saje mahu cuba setting berguna di kamera Nikon D90… ini hasilnya… dan ada banyak lagi.
Okay kepada pembaca yang tak mengenali IN HEART, mereka ialah salah satu kumpulan yang menjadi peserta Akademi Nasyid yang ditayangkan di TV9 dan berjaya ke peringkat separuh akhir. Paling mengujakan apabila grup nasyid kontemporari ini berjaya mendapat undian SMS paling tinggi selama 7 minggu yang pertama berturut-turut. Pergh~! Dahsyat jugak eh?
Tak lama lepas tu, dalam jam 3.30 petang lebih, majlis bermula dengan ucapan aluan dari pengerusi majlis… seorang wanita~ pastinya dari fan club In Heart.
Juga bacaan doa…
Seterusnya dari Presiden Kelab Peminat IN HEART.
Dan yang ditunggu-tunggu, majlis pelancaran album dengan gimiknya… oh… temanya adalah Japanese. Maklumlah, lagu single yang dipertaruhkan adalah SAKURA. Si gadis pembaca album yang diisi dalam sebuah bekas yang berasap-asap tu pun siap memakai sepasang kimono merah jambu.
Selepas gimik, grup yang terdiri daripada pelajar Kolej Islam Antarabangsa ini telah melantunkan kesemua lagu dalam album mereka iaitu, Sakura, Yang Ku Cari dan sebuah lagu duet dengan Imran Ajmain dan Khairul dari Evo.
Hadirin dijamu dengan hidangan minum petang
Selepas majlis selesai, Budiey shoot gambar In Heart kat luar.
Dan sempat berborak-borak dengan salah seorang vokalis In Heart iaitu Khairul.
Kenapa SAKURA?
Menurut Khairul, lagu Sakura adalah manifestasi dari buah fikiran kepada sebuah kehidupan yang tenang, gembira dan interpretasi kepada satu kepuasan. Sakura satu objek yang melambangkan sesuatu yang sangat subjektif seperti Iman, bunga, kehidupan, cinta dan sebagainya. Muziknya ada campur sikit elemen muzik Jepun.
In Heart mengambil masa 3 bulan untuk menyiapkan single ini. Berkonsepkan balada fusion dan walaupun berimejkan konteporari moden, namun In Heart masih mengekalkan mesea lagu nasyid iaitu bertema ketuhanan.
Bila akan lancar album penuh pulak?
Insyaallah, tahun hadapan. Sekarang kami sedang mengumpulkan material.
Lagu Penantian Ini adalah sebuah lagu raya yang dicipta oleh Rafique Infinatez dan Shah Infinatez berkolaborasi suara dengan Hyrul Mentor 3 dan Imran Ajmain. Dengarnya, lagu ini dah berkumandang di Radio Hot FM.
Album ini disempurnakan dengan komposer baru dan lama yang menghasilkan konsep lagu dan susunan muzik yang lebih segar dan moden.
Dengan lahirnya IN HEART, diharapkan dapat memeriahkan lagi industri muzik tanahair untuk menelusuri arus ritma muzik yang lebih global dan menjadi sebuah kumpulan yang lebih universal.