Budiey baru je dapat berita ni… fresh dari oven… jadi Budiey nak ucapkan TAHNIAH kepada TV3… sebab TV3 KEKAL MENJADI PILIHAN NOMBOR SATU DI MUSIM LEBARAN. Pergh~!
Stesen no. 1 negara, TV3 dengan tagline “Inspirasi Lebaran” untuk musim Raya tahun ini terus kekal menjadi pilihan nombor satu penonton dengan memperolehi catatan rating keseluruhan secara purata sebanyak 32% daripada jumlah penonton di sepanjang minggu pertama Hari Raya (20 – 26 September 2009). Secara kesuluruhan, TV3 berjaya mendominasi apabila sebanyak 35 program utama di kalangan semua saluran televisyen di negara ini dikuasai TV3, manakala di kalangan 100 program utama sepanjang minggu Hari Raya itu, hanya enam daripadanya milik saluran pesaingnya. (Sumber: AGB Nielsen)
Di kalangan penonton Melayu dewasa, TV3 merupakan saluran pilihan utama penonton kerana berjaya mencatatkan 42%, kadar peratusan penonton daripada peratus kesuluruhan sebanyak 56% yang diperolehi oleh semua stesen televisyen di bawah syarikat konglomerat Media Prima Berhad. Filem blokbuster Sifu dan Tongga mendahului carta dengan jumlah peratusan penonton menyaksikannya sebanyak 50% atau mewakili 3.3 juta penonton; begitu juga dengan segmen Pengisytiharan Raya yang ditonton hampir 3 juta penonton dengan kadar peratusan penonton sebanyak 57%. Antara program-program lain yang berjaya menjadi pilihan penonton termasuk program hiburan dan muzikal seperti Mentor 3 Raya, filem blockbuster Duyung, Cicakman 2, Jangan Tegur juga tersenarai sebagai program paling ditonton.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato’ Sri Farid Ridzuan berkata, “Kami di TV3 amat bersyukur dan berbesar hati dengan pencapaian rating yang memberangsangkan pada musim perayaan ini kerana membuktikan bahawa TV3 masih menjadi pilihan nombor utama penonton Malaysia terutamanya ketika perayaan Hari Raya. Jumlah penonton yang tinggi menyaksikan program siaran TV3 ini bukan berlaku secara sengaja atau kebetulan, tetapi hasil strategi yang dirancang dan kajian yang mendalam bagi memahami dengan lebih baik keperluan penonton. Program-program raya yang disediakan oleh TV3 masih mengutamakan kehendak penonton yang menjadi inspirasi untuk kami mencetus program-program terbaik. Kepelbagaian gabungan genre program merangkumi filem blockbuster, telefilem, musical, bual bicara, dokumentari dan berita berjaya memikat hati penonton.”
Turut tidak ketinggalan, saluran lain di bawah naungan Media Prima Berhad juga menyajikan program-program istimewa dan menarik bagi memenuhi kehendak dan citarasa para penonton yang mahukan alternatif. TV9 berjaya menarik minat hampir setengah juta penonton melalui program-program komedi dan hiburan seperti Ceplos Raya, Geletek raya dan Cerita Hantu Malam Raya. Sementara 8TV dan ntv7 menawarkan pilihan kepada penonton berbangsa Cina dengan lebih 40 peratus penonton Cina menonton siaran dua saluran terbabit di sepanjang minggu pertama raya.
Dato’ Sri Farid juga berkata, “Selain itu, pendapatan pengiklanan (ad revenue) mempamerkan peningkatan sebanyak 44% berbanding dengan jumlah pendapatan tahun lepas pada musim Hari Raya Aidilfitri. Pihak kami beranggapan bahawa ini merupakan petanda positif bahawa keadaan ekonomi negara sekarang beransur pulih dan petunjuk jelas bahawa pengiklan terus memilih TV3 sebagai platform pengiklanan di musim perayaan.”
Dengan menyediakan program-program terbaik untuk memenuhi citarasa penonton ketika mereka bercuti, Media Prima turut menjanjikan ganjaran kepada para pengiklan dengan memastikan mereka mendapat pulangan hasil daripada pelaburan menerusi saluran televisyen milik syarikat ini.