Diam-diam ubi berisi. Itulah perumpamaan kepada empat jejaka, Rich, Din, Hanafi dan Andy, yang dikenali sebagai Estranged. Seperti mengamalkan peribahasa ini, kebanyakan aktviti Estranged dijalani secara diam namun cukup terancang.
[pullquote]Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-22 yang terkenal dengan lagu “Itu Kamu”, “Yang Pernah” dan “Aurora” ini bakal membawa muzik yang mereka percayai jauh ke negara matahari terbit. Ditaja sendiri, ini merupakan sebuah usaha Estranged untuk membawa muzik mereka ke pasaran baru, dan untuk kali ini ke Jepun.[/pullquote]
Nampak seperti sepi seketika daripada dunia hiburan tanah air, hakikatnya grup yang baru sahaja meriliskan album “Greatest Hits” ini sering sibuk memenuhi persembahan di acara-acara tertutup. Malah waktu yang ‘senyap’ ini dipenuhi dengan persediaan rapi dengan menjalani latihan atau lebih tepat sesi jamming untuk beraksi di Jepun kelak.
Sebagai informasi, Estranged akan melakukan siri jelajah ke tiga buah kota di Jepun iaitu Tokyo, Osaka dan Nagoya. Pengalaman dan pembelajaran berharga ini sudah pastinya akan dikongsi bersama-sama band-band tempatan Jepun untuk rangkaian lima buah gig yang membuahkan rasa semangat dalam jiwa bermuzik mereka.
“Kami memang berasa seronok dapat melakukan gig di Jepun. Mudah-mudahan segala usaha dan kerja keras kami dapat menghasilkan sesuatu yang positif. Harapan kami, agar muzik kami dapat menembusi pasaran baru dan pada masa yang sama kami dapat belajar dari pengalaman yang akan ditimba sepanjang 9 hari di sana,” ujar Rich yang merupakan vokalis kumpulan ini.
Estranged akan beraksi di 5 gig di Jepun;
14 April – Live labo Yoyogi, Tokyo
15 April – Imauke Club 3Star, Nagoya
16 April – Shinsaibashi Atlantis, Osaka
18 April – Otsuka Hearts, Tokyo
20 April – Meguro Rockmaykan, Tokyo
Bakal beraksi sepanjang 30-45 minit di setiap gig, Estranged akan membawakan sekitar lapan ke sembilan buah lagu yang sudah tentunya dipetik daripada album In Hating Memory, Remain Unknown, & Anugerah Hidup.
“Siri jelajah gig ini adalah usaha dan pelaburan Estranged sendiri dengan harapan yang tinggi untuk memperkenalkan muzik kami kepada orang Jepun. Walaupun hanya dapat menambat hati seorang rakyat Jepun, itu sudah memadai. Kalau dapat lebih ramai, itu akan menjadi bonus besar buat kami,” ujar Estranged. Sesungguhnya kata-kata itu kedengaran melucu tetapi memang ada kebenarannya.