in ,

Sinopsis Momok The Movie

SINOPSIS MOMOK THE MOVIE

Adlin yang bekerja di Kuala Terengganu, pulang ke kampungnya untuk bercuti. Seperti biasa, setiap kali pulang ke kampung, Adlin akan bertandang ke Warung Pak Ajis untuk menikmati Mee Calong dan bersembang kosong. Kepulangannya kali ini untuk bertemu ibunya Mak Ton, adiknya Isham dan Esah setelah berada enam bulan di Kuala Terengganu telah membawa satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.

Bersama, Kadir, teman sekampungnya, Adlin telah ke warung Pak Ajis. Malam tersebut, selesai solat berjemaah di surau, Adlin dan Kadir ke warung Pak Ajis. Pelbagai insiden dan petanda yang seolah-olah menunjukkan sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Setelah sampai di warung Pak Ajis yang terletak di tepi tebing sungai di hujung kampung, seperti biasa mereka mula bersembang sehinggalah kepada cerita mengenai kisah-kisah seram. Pak Ajis, Adlin dan Kadir juga mendapat teman bercerita, Noniswara,  gadis India pekerja kilang yang di ganggu peristiwa seram  menaiki bas tanpa pemandu ketika pulang dari kerja pada malam tersebut.

Cerita kisah Pontianak, Pochong, Orang Bunian, Badi Mayat (“Chandra Murke” – Legenda hantu masyarakat Hindu), Mayat Hidup Di Langkah Kucing Hitam dan Sampuk  menjadi penglipurlara mereka berempat malam itu.

Peristiwa seram serta perasaan gemuruh yang mereka alami akibat dari cerita-cerita seram bukan lagi sekadar cerita dan ilusi tetapi bercampur aduk dengan realiti. Bagi Adlin, peristiwa ternampak sekumpulan orang mengusung keranda, bayangan arwah ayahnya haji Lah  dan kata-kata ibunya, Mak Ton, bahawa  Pak Ajis mengalami sakit jiwa setelah kematian isterinya Mak Temah  mula menampakkan  kaitannya.

Selalunya mereka yang lemah semangat mudah di ganggu oleh `hantu’. Tanpa Adlin sedari, `hantu’ yang beliau takuti sebenarnya wujud ‘bersama’ beliau dan rakan-rakan di sepanjang malam mereka bercerita. Bagaimana mungkin Pak Ajis menjadi `hantu’ sedangkan beliau masih hidup? Kalau bukan Pak Ajis hantunya, manakah hantu yang ditakuti? Mustahil? Namun begitu, tiada yang mustahil di dunia ni. Apa yang pasti, Momok The Movie  ini akan mengembalikan satu nostalgia yang menghiburkan kita dengan cerita-cerita mitos  masyarakat Malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Funny Girl Istimewa Hari Raya di TV2

Apa Kata Wanita… Bersama Zamzarina Edisi Raya