BERHIBUR DENGAN 4 TELEMOVIE SETIAP PETANG RAYA DI TV2
Setelah seharian meluangkan masa menziarahi jiran tetangga dan sahabat handai berhari raya, usah lepaskan peluang beristirehat sambil menonton 4 telemovie hebat yang disiarkan menerusi saluran Dunia Ria, TV2 menerusi Sesuci Lebaran (21 September 2009), Syawal Buat Bonda (22 September 2009), Culik (23 September 2009) dan Ketupat Penyek (24 September 2009) yang disiarkan kesemuanya disiarkan setiap jam 3.00 petang di TV2.
Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Sesuci Lebaran menghiburkan petang raya anda dengan menampilkan watak Irma lakonan berkesan Ann Ngasri yang dipaksa berkahwin seminggu selepas hari raya. Bagaimanapun dia tidak setuju dengan perkahwinan itu. Bapa tirinya, Baharom dilakonkan Nasir Bilai Khan memaksa Irma berkahwin dengan Sufian, yang banyak meminjamkan duit kepada Baharom. Satu hari ketika mempertahankan dirinya daripada dirogol oleh Baharom, Irma memukul kepala Baharom dengan benda berat. Irma menyangka Baharom mati, dia melarikan diri ke rumah Suu Lee, kawan baiknya. Bapa Suu Lee, Baba Tan dan ibunya Nyonya Tan melayan Irma dengan baik. Namun Irma hairan melihat Nyonya Tan menyediakan kuih-kuih raya yang menjadi persediaan orang Islam. Namun rupa-rupanya keluarga itu menyembunyikan rahsia penyesalan kerana menghalau anak lelaki mereka yang memeluk agama Islam tanpa restu mereka.
Tidak kurang menariknya drama Syawal Buat Bonda yang menggandingkan lakonan Baharuddin Hj.Omar, Uji Rashid, Norman Hakim, Zefrul Nadzarine, Fauziah Ghaous, Leez dan Suzaidi Saidin menjayakan drama terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd ini.
Syawal Buat Bonda mengisahkan tentang keluarga Pak Samad dan Mak Yam yang berpecah kerana konflik dalaman keluarga. Konflik ini telah membuatkan anak-anak mereka Nasir, Rizal dan Raiha menjauhkan diri dari Pak Samad dan Mak Yam. Rizal tidak dapat memaafkan Nasir kerana berkahwin dengan Mira yang merupakan tunangannya dahulu. Peristiwa itu telah memusnahkan hubungan kekeluargaan mereka. Raiha yang merupakan anak perempuan tunggal sanggup mengahwini Arif yang menjadi pilihan ibu bapanya walaupun dia tidak mencintai Arif. Namun kematian Pak Samad pada minggu ketiga Ramadan telah menemukan semula Nasir, Rizal dan Raiha dengan Mak Yam. Melihat kesedihan ibu mereka, Nasir selaku anak sulung berazam untuk menyatukan keluarga mereka semula demi kebahagiaan ibu mereka.
Menyusul drama Culik memaparkan kisah Boestamam yang sudah tua merasai saat kematian sudah menghampiri apabila dia dinasihat seorang doktor untuk membuat peperiksaan lanjut kerana kemungkinan menghidap barah. Dia mula tertekan bukan kerana takut tentang kematian tetapi untuk segera menyelesai masalah dia dan anaknya sekeluarga yang berpunca dari tanah dusun pusaka yang dia sendiri merasai tidak ada hak dimiliknya, apatah lagi untuk mewariskan kepada anaknya yang bercadang untuk diusahakan menjadi eko resort. Dia mengilunasikan yang Pak Sheikh telah memberi jalan altenatif kepada penyelesaian masalah yang dia sekarang terima sebagai sesuatu yang dia sendiri sebagai penyebabnya. Seperti yang dibayangkan apa yang dikehendaki Pak Shiekh, dia telah menculik cucunya untuk tinggal bersama Pak Sheikh didusun selama 7 hari dan malam sebagai satu ritual untuk diturunkan hak pemilik yang baru dimana dusun pusaka itu dapat di wakafkan. Culik dibintangi oleh Khalid Salleh, Dr. Samad Salleh, Fatah Faqrul, Mislina, Bront Palaree, Chermaine Poo dan M.J. Nada.
Mendengar tajuknya sememangnya berbaur komedi, namun Ketupat Penyek yang menyusul Hari Raya Keempat dibintangi Jasmin Hamid, Amyza Adnan, Kartina Aziz, Illya, Johan, Mohd Fahmi dan Aqilah Malek ini tidak kurang menariknya mengisahkan watak Nana dan Noni, menantu moden yang masing-masing mempunyai kerjaya yang mantap. Mereka suka bergaya dan bersosial dengan menyertai pelbagai persatuan. Mereka baik antara satu sama lain malah amat mesra dan manja dengan Mak Bedah iaitu ibu mertua yang memahami, baik hati dan penyayang.
Mak Bedah langsung tidak kisah sekiranya Nana dan Noni tidak menolongnya membuat kerja rumah. malah, ketika menjelang raya, Nana dan Noni tak pernah memasak atau menyiapkan juadah untuk hari raya kerana tidak tahu memasak. Mereka hanya menolong serba sedikit tapi untuk memasak langsung tidak kerana mereka akan menyerahkan sepenuhnya kepada Mak Bedah . Apa yang mereka tahu, pulang di hari raya dengan membawa juadah atau kuih muih yang ditempah dan dibeli dari kedai. Namun menjelang raya tahun itu Mak Bedah tiba-tiba jatuh sakit. Ketika itulah kedua-duanya mula ‘menghuru-harakan’ dapur ibu mertua mereka untuk memasak hidangan raya.
Justeru usah ketinggalan meluangkan masa menonton Sesuci Lebaran (21 September 2009), Syawal Buat Bonda (22 September 2009), Culik (23 September 2009) dan Ketupat Penyek (24 September 2009) yang disiarkan kesemuanya disiarkan setiap jam 3.00 petang di TV2.