Penyanyi antarabangsa yang berasal dari Malaysia, Dato’ Shake bakal mengadakan konsert amal bersempena sambutan Hari Ibu di Kuching, Sarawak pada 10 Mei ini. Bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk konsert amal tersebut, kutipan tiket konsert amal tersebut bakal diberikan kepada pihak kementerian untuk diagihkan kepada badan-badan memerlukan.
Berita ini diumumkan oleh Dato’ Shake di Majlis Pelancaran Muzik Video Terbaru ‘Umi’ dan Konsert Amal di Kuching, Sarawak bertempat di Heritage Club, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Selasa lalu, 18 Disember 2014.
“Memang dari dahulu lagi, saya mempunyai ramai peminat yang berasal dari negeri Sarawak. Saya teruja untuk mengadakan persembahan di sana. Saya bakal membawakan 30 buah lagu dan konsert amal tersebut bakal berlangsung kira-kira dua jam. ‘Mon Voyage’ atau ‘Perjalananku’ akan menjadi tema saya bagi konsert tersebut.
“Saya juga mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert di lokasi-lokasi lain seperti Sabah, Kuala Lumpur dan Johor. Semuanya akan diberitahu dari masa ke semaa.”
Dalam pada itu, Shake turut melancarkan muzik video terbaru bagi lagu popular dendangannya, ‘Umi’. Selain muzik video terbaru yang dirakamkan di Paris, sususan muzik lagu tersebut juga diberi nafas baru oleh Shake.