Penyanyi Malaysia popular yang mencipta nama di Perancis, Dato’ Shake atau nama sebenarnya, Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh telah mengadakan satu sidang media di Heritage Club, The Royale Chulan Hotel pada jam 3 petang tadi untuk melancarkan video muzik terbarunya berjudul UMI.
Lagu popular Dato’ Shake ini telah dijadikan satu versi baru. Video muzik terbaru Dato’ Shake itu telah ditontonkan kepada semua yang hadir.Video lagu UMI yang mendapat gubahan semula dan nafas baru ini telah diarahkan oleh anak lelaki beliau sendiri, Amaro Shake. Pembikinan video muzik ini telah berlatarkan kota Paris.
[dropcap]D[/dropcap]alam majlis yang sama, Dato’ Shake turut membuat pengumuman tentang Konsert Amal Bakti Dato’ Shake yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat. Konsert tersebut akan diadakan pada 10 Mei ini bertempat di Sarawak bersempena Hari Ibu. Menurut beliau, hasil jualan tiket akan disalurkan kepada badan-badan yang memerlukan. Selain Sarawak, Dato Shake juga mempunyai perancangan untuk mengadakan konsert amal seterusnya di Sabah, Johor dan Kuala Lumpur.
“Saya tidak menukar melodi lagu tersebut, tapi susunannya saya beri nafas blues. Muzik video terbaru lagu tersebut saya rakamkan di kota Paris. Anak saya sendiri, Amaro mengarahkan muzik video tersebut. Saya menggunakan ibu-ibu yang ada di situ untuk menjayakan muzik video saya.
“Saya juga menggunakan khidmat seorang ibu yang berasal dari Malaysia yang menetap di sana untuk membintangi muzik video ‘Umi’ ini. Saya dedikasikan muzik video saya ini kepada semua insan yang bergelar ibu di luar sana, tidak kiralah apa bangsa atau pun di mana sahaja mereka berada.”
Dalam perkembangan lain, Dato Shake juga telah membuat keputusan untuk kembali menetap di Perancis selepas hampir dua tahun tinggal di negara ini. Keputusan itu dibuat selepas beliau mendapat pelbagai permintaan untuk dia kembali aktif dengan kerjaya muziknya di Perancis.