in ,

Iqbal, Watie dan Tengku Putri Najuwa Dalam Drama Panggilan Rayyan

PANGGILAN RAYYAN : KISAH SAUDARA BARU BERDEPAN DUGAAN SEPANJANG BERPUASA DALAM TELEMOVIE KHAS RAYA DI TV2

Telefilem menjelangnya bulan Syawal yang mulia bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Panggilan Rayyan pada 18 September 2009 (Jumaat), jam 3.00 petang mengisi slot Pilihan Jumaat Khas Raya di TV2 ini nyata tampil berbeza berbanding telemovie-telemovie khas yang lain kerana mengambil pendekatan menyiarkan drama yang mengisahkan bagaimana watak Ashraf, seorang saudara baru berhadapan dengan pengalaman puasanya yang pertama bersama dengan keluarga isterinya, Syafiqah.

Drama lakonan Muhammad Syafiq, Linda Hashim, S. Sahlan, Kartina Aziz, Ozlyn Watie dan Tengku Putri Najuwa terbitan Times United Industries Berhad, Panggilan Rayyan ini penuh dengan plot pengajaran berguna melibatkan watak Samuel, seorang pemuda berbangsa serani yang beragama Kristian telah jatuh cinta kepada Syafiqah seorang mahasiswi yang menuntut dalam jurusan perniagaan di sebuah universiti tempatan. Keluarganya di Australia tidak membantah sebaliknya halangan diterima daripada keluarga Syafiqah terutama ibunya Hajah Mariah agak keberatan dengan keputusan anaknya itu kerana bimbang Syafiqah tidak dapat mengawal suaminya dan akan dipengaruhi pula dari segi pemikirannya kelak.

Namun ketentuan jodoh merestui cinta Samuel yang telah memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Ashraf bagi membuktikan kesungguhannya untuk mengahwini Syafiqah dengan restu dari kedua-dua belah keluarga.

Kehidupan rumahtangga mereka berjalan dengan lancar sehinggalah Ashraf kehilangan kerja kerana masalah kewangan yang melanda syarikat majikannya. Ashraf tetap pasrah dan berbekalkan kata-kata semangat dari isterinya, Ashraf yakin dengan perancangan yang diatur oleh ilahi. Ashraf kerap berkunjung ke rumah keluarga Syafiqah untuk menuntut ilmu keagamaan dengan bapa mertuanya,Haji Safuan yang tertarik dengan sikap Ashraf yang rajin dan cuba sedaya upaya memahami ilmu yang diajarkannya. Hajah Mariah walau bagaimanapun tetap menyimpan sedikit perasaan skeptikal terhadap menantunya itu apatah lagi Ashraf mengaku bahawa pada zaman sebelum islamnya dia seorang penggemar alkhohol.

 

Apabila bulan Ramadhan menjelang, Ashraf sekali lagi menghadapi ujian bukan sahaja dengan persiapannya berpuasa malah turut melibatkan soal kewangannya juga. Ashraf yang telah ditipu terpaksa menganggur dan berpindah buat sementara waktu ke rumah bapa mertuanya kerana kesempitan wang. Mujur isterinya sentiasa ada di sisi memberikan kata-kata semangat. Ashraf agak kekok apabila terpaksa tinggal sebumbung dengan keluarga mertuanya apatah lagi dia tidak berapa mesra dengan kakak iparnya Fauziah. Ikhwan, adik iparnya agak mesra serta menjalinkan hubungan yang rapat dengannya.

Bermulanya bulan puasa menandakan satu pengalaman baru bagi Ashraf sebagai seorang muslim. Ashraf sedikit liat untuk ke masjid bagi menunaikan solat tarawikh namun kerana malu dengan bapa mertuanya, dia terpaksa juga memaksa diri menghadirkan diri ke masjid. Setelah selesai bersolat terawih, Ashraf bertanya tentang bulan Ramadhan kepada bapa mertuanya itu. Haji Safuan kemudiaannya telah menceritakan tantang fadhilat puasa dan menyentuh tentang pintu ‘Rayyan’ iaitu pintu yang dikhususkan untuk memasuki syurga bagi mereka yang sabar dan menjadikan ibadah puasa sebagai keutamaan dalam kehidupan mereka. Keistimewaan pintu ‘Rayyan’ telah memberikan motivasi yang berguna kepada Ashraf untuk meneruskan ibadah puasanya.

Pada masa yang sama, Fauziah cemburu dengan adiknya yang telah berkahwin lebih awal darinya dan sentiasa mencari salah Ashraf untuk diceritakan kepada ibunya. Dalam pada itu, Ikhwan yang baru berjinak-jinak dengan rokok telah mengambil rokok Ashraf dan menghisapnya di siang bulan Ramadan. Perbuatanya itu telah disedari oleh Fauziah yang kemudiaannya telah mencetuskan konflik antara dirinya dan Ashraf. Fauziah menuduh Ashraf mengajar Ikhwan merokok dan ia telah membangkitkan amarah Hajah Mariah kepada menantunya itu.

Ketika berjalan-jalan di sekitar kota, Ashraf telah bertembung dengan sepupu jauhnya, Belinda. Pertemuan tersebut telah membuka semula cerita lama apabila mereka satu ketika dahulu pernah menjalinkan hubungan cinta. Setelah berterus terang kepada Belinda tentang status dirinya, Belinda agak terkejut dan teruja untuk berkenalan dengan keluarga baru Ashraf.

Akan timbulkah perasaan cemburu di hati Syafiqah dengan kemunculan Belinda yang tidak diduga itu? Lalu bagaimana pula Ashraf berdepan dengan keluarga mentuanya itu? Berjayakah panggilan ‘Rayyan’ meyakinkan Ashraf menjalani kehidupan sebagai muslim yang sejati? Untuk mengetahui kesudahannya, usah ketinggalan menyaksikan Panggilan Rayyan pada 18 September 2009 (Jumaat), jam 3.00 petang mengisi slot Pilihan Jumaat Khas Raya di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Quotes of The Day: Siti Nurhaliza Tersentuh Simpati

09.09.09 Lucky Number Wedding at Kuala Lumpur Tower