Sitkom 88 Kopitiam Dihentikan Siaran Gara-Gara Video Kontroversi Teresa Kok. RTM akan mengkaji mana-mana rancangan yang mengaitkan pelakonnya dengan aktiviti yang memburuk-burukkan nama dan imej negara. Demikian dinyatakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Dato’ Norhyati Ismail. RTM Tidak Berkompromi Dengan Sebarang Usaha Mencemarkan Imej Negara.
Menurut beliau, RTM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat dengan penerbitan program seumpama itu. Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang mengaitkan pelakon sitkom 88 Kopitiam siaran TV 2 dengan video yang mencemarkan imej negara. Video yang disiarkan melalui media sosial itu melibatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok semasa sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, RTM akan memanggil penerbit rancangan berkenaan dalam masa terdekat untuk mengesahkan pembabitan pelakon tersebut. Ini untuk memastikan tidak ada pihak yang teraniaya atau dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
88 Kopitiam disiarkan melalui TV2 pada setiap Isnin, pukul 7.00 malam. Sitkom ini mengetengahkan isi-isu semasa dalam kalangan masyarakat Cina yang berlatarkan kopitiam dengan konsep komedi bersahaja.