Siti – Saluran dedikasi istimewa dari Astro sempena Hari Kemerdekaan
Kuala Lumpur, 25 Ogos 2009 – Istimewa sempena Hari Kemerdekaan yang ke-52, Astro dengan bangganya membawakan saluran dedikasi istimewa buat pelanggan-pelanggan Astro serta peminat-peminat setia Dato’ Siti Nurhaliza dengan mempersembahkan saluran ‘SITI’ (saluran 188).
Dato’ Siti Nurhaliza & Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro
Saluran SITI ini boleh dinikmati oleh semua pelanggan-pelanggan Astro secara percuma dalam satu tempoh yang terhad selama dua hari tanpa henti iaitu dari 30 Ogos 2009, jam 8.00 malam sehingga 31 Ogos 2009, jam 11.59 malam.
Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Encik Khairul Anwar Salleh, “Bersesuaian dengan Kempen NegaraKU, The Best of 1Malaysia yang dianjurkan oleh Astro, kami ingin meneruskan hasrat dalam memaparkan program-program yang menceritakan kejayaan individu dalam mengharumkan nama dan sejarah negara.
Seperti yang semua sudah sedia maklum, Dato Siti Nurhaliza bukan sahaja telah mengharumkan nama negara tetapi juga di persada antarabangsa dalam industri hiburan. Sebagai warga korporat, kami amat berbangga dengan pencapaian beliau dan ingin berkongsi kegembiraan ini dengan pelanggan-pelanggan setia kami.”
“Sebagai meraikan para pelanggan yang tidak jemu-jemu menyokong dan menonton program-program siaran Astro, kami ingin mengucapkan terima kasih dengan membuka sebuah saluran dedikasi istimewa buat penghibur nombor satu negara; Dato’ Siti Nurhaliza secara percuma.
Kami mahu merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para pelanggan kami dengan menyiarkan Konsert SATU Dato’ Siti Nurhaliza yang berlangsung pada bulan Jun baru-baru ini di Istana Budaya.
Konsert eksklusif Dato’ Siti Nurhaliza yang telah diadakan hanya mampu dikongsi bersama lebih kurang 4,200 orang yang datang menonton tetapi kami di Astro memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan semula rakaman konsert ini secara percuma. Inilah hadiah istimewa Astro buat para pelanggan setia kami,” ujar Khairul lagi.
Saluran SITI yang boleh didapati secara percuma ini bakal menyiarkan rakaman Konsert SATU Dato’ Siti Nurhaliza yang telah diadakan di Istana Budaya pada 26 – 28 Jun 2009 baru-baru ini.
Konsert istimewa yang menyaksikan gabungan visual grafik, pemilihan lagu, koreografi tari dan alunan muzik telah digunakan sepenuhnya oleh Dato’ Siti dalam menghiburkan para peminatnya dengan membawakan 30 buah lagu tanpa henti dalam masa dua jam.
Konsert yang telah dikemudikan oleh Pat Ibrahim selaku pengarah konsert dan diiringi oleh 20 orang pemuzik di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta 25 penari latar di bawah bimbingan Pat, Azwa dan Suhaili ternyata memberikan impak yang sangat besar dalam sejarah penting dunia seni hiburan.
“Selain dari konsert SATU yang menjadi tunggak utama bagi saluran dedikasi istimewa ini, kami juga akan menyiarkan Konsert Fantasia Tour Dato’ Siti Nurhaliza di Bukit Jalil pada tahun 2004 di samping klip-klip video muziknya secara berselang-seli secara bonus,” tambah Khairul lagi.
Jangan lupa untuk menyaksikan saluran dedikasi khas, SITI di saluran 188 secara percuma selama dua hari tanpa henti pada hujung minggu ini. Eksklusif buat pelanggan-pelanggan Astro!